Pengiktirafan UNESCO bukti Malaysia sedia pendidikan inklusif

Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia (SKUM), Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama tetamu selapas merasmikan Hari UNESCO Malaysia 2016 di Taman Wetland Putrajaya malam ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (dua, kanan) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan). – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pengiktirafan UNESCO dalam pelbagai bidang membuktikan usaha Malaysia menyediakan pendidikan bersifat inklusif kepada rakyat berada pada landasan tepat. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pendidikan inklusif sentiasa menjadi agenda keutamaan negara dalam melahirkan masyarakat berdaya saing, berpandangan jauh, saintifik serta progresif. Mahdzir yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, berkata antara pengiktirafan itu termasuk pelantikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai Presiden Majlis Antara Kerajaan Bagi Pengurusan Transformasi Sosial (MOST IGC) UNESCO. “Pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur sebagai Presiden Suruhanjaya Sains UNESCO, menjadi simbol pengiktirafan serta keyakinan komuniti sains dunia terhadap kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa. “Usaha Malaysia dalam pemeliharaan tapak warisan kebangsaan juga melonjakkan keupayaan negara yang mana Malaysia mencapai pengiktirafan peringkat dunia melalui empat Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Kinabalu, Taman Negara Gunung Mulu, Melaka dan Georgetown serta Tapak Arkeologi Lembah Lenggong. “Selain itu, Malaysia kini memiliki dua tapak rizab biosfera yang diiktiraf UNESCO iaitu Tasik Chini dan Banjaran Crocker, manakala Kilim Geopark di Langkawi yang juga tapak geopark pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf UNESCO berjaya dilanjutkan tempoh pengiktirafannya,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari UNESCO Malaysia 2016 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Beliau berkata, Malaysia juga menjalin kerjasama strategik dengan UNESCO yang mana negara ini terbabit dengan pelbagai misi dan visi UNESCO bagi membantu negara kurang membangun melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP). “Dalam meningkatkan cakupan inklusif negara, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) akan memfokuskan kepada usaha memperkasa keupayaan komuniti dengan memberikan tumpuan khas kepada asas keperluan masyarakat khasnya keluarga, belia, wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya,” katanya.

Sumber: Berita Harian