Pendidik aliran STEM perlu lebih proaktif

Datuk Mary Yap Kain Ching.

KUALA NERUS: Kerajaan mahu memastikan pembelajaran dan pengajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seiring pembangunan serta inovasi negara. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata pada tahun 1967, kerajaan menyasarkan peratusan pelajar aliran Sains berbanding Sastera dengan nisbah 60:40. Selepas berusaha hampir setengah abad, katanya, sasaran itu masih jauh untuk dicapai dan ia merumitkan cabaran yang perlu dihadapi rakyat negara ini mencapai wawasan negara maju menjelang 2020. “Ilmu dan kemahiran dalam Sains dan Teknologi perlu dikuasai bagi memacu keperluan pertumbuhan Model Baharu Ekonomi serta menangani cabaran dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. “Justeru, pendidik STEM perlu proaktif dalam merancang pelan tindakan, mengatur strategi dan merealisasikan setiap pelan dengan berjaya,” katanya pada majlis Kolokium Kebangsaan Pendidik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (KKPSTEM) dan Cabaran Sains Nasional peringkat Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail. Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar dan Presiden Malaysian Industry Government Group (MIGHT), Datuk Dr Yusoff Sulaiman. Kain Ching berkata, pihaknya berharap jalinan kerjasama UMT, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan MIGHT berkesan dalam memastikan agenda memartabatkan STEM menjadi kenyataan. Katanya, jalinan itu adalah permulaan baik dalam menambah baik sistem pendidikan negara.

Sumber: Berita Harian