Jadikan STEM lebih menyeronokkan

29 Mei 2016 10:30 AM

 KUALA TERENGGANU 29 Mei – Universiti awam dan swasta di negara ini perlu konsisten dalam menganjurkan program-program galakan sains dengan institusi pendidikan ke arah mewujudkan landasan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mantap seperti yang dihasratkan kerajaan.
MARY YAP KAIN CHING
MARY YAP KAIN CHING

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, kerjasama pintar yang membabitkan pemindahan ilmu bukan sahaja mampu memberi anjakan kepada pembelajaran di sekolah malah dapat mencungkil bakat penyelidik muda dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, beliau meminta universiti bersifat kreatif dan inovatif semasa menjalankan aktiviti STEM supaya ilmu berkenaan dapat dijadikan amalan baik untuk dicontohi di sekolah.

“Dalam erti kata lain, universiti perlu menyumbangkan idea bagaimana untuk memastikan pembelajaran STEM menjadi lebih mudah dan menyeronokkan, saya yakin pembelajaran yang lebih interaktif berupaya memberi impak dalam menarik minat golongan sasar untuk mengikuti mata pelajaran tersebut.

“Justeru, universiti di negara ini harus mengambil peranan seumpama ini di samping mengenal pasti aspek-aspek yang perlu dititikberatkan dalam melonjakkan bilangan pelajar yang memilih aliran sains dan teknikal kepada nisbah 60:40 seperti yang dihasratkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks perasmian Kolokium Kebangsaan Pendidik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (KKPSTEM) peringkat negeri di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, semalam, yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Yang hadir sama Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar; Presiden Kumpulan Kerajaan-Industri Malaysia untuk Teknologi Tinggi (Might), Datuk Dr. Yusoff Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Noraini Idris.

Bertemakan ‘Ke Arah Transformasi Minda Sains’, KKPSTEM yang dianjurkan UMT dengan disertai 800 peserta menjadi platform buat guru, ibu bapa dan pihak terlibat untuk berbincang dan berkongsi maklumat, pengalaman serta hasil penyelidikan tentang isu berkaitan strategi memartabatkan STEM.

Menurut Mary Yap, masyarakat masih dikaburi dengan kenyataan yang skeptikal terhadap aliran STEM yang kononnya susah, justeru penglibatan media massa dalam mempromosikan aliran itu untuk mengubah pandangan negatif akan dapat membantu.

Sumber:   Utusan Online

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jadikan-stem-lebih-menyeronokkan-1.335826

%d bloggers like this: