FHG Sabah catat sejarah tersendiri

30 Mei 2016 1:08 AM

 

Musa Aman (duduk, dua dari kanan) menurunkan tandatangan di atas meja khas di Bilik Darjah Pembelajaran Abad Ke-21 semasa melawat ruang pameran YTL Communication di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

FESTIVAL Hari Guru (FHG) Pe­ringkat Kebangsaan 2016 di Sabah mencatat sejarah tersendiri – paling diingati apabi­la 11,000 warga Kota Kinabalu membanjiri padang kawad di Uni­­versiti Malaysia Sabah (UMS) seawal 4 pagi, pada 14 Mei untuk menjayakan program Larian Tatap Bah Sayang Cikgu.

Belum pernah berlaku sepanjang lapan tahun penganjuran bersama oleh Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan sebegitu ramai masyarakat setempat meraikan hari keramat itu bersama-sama guru dan beberapa kenamaan, termasuk Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan barisan kanan pegawainya.

Begitu juga aktiviti kreatif lain seperti Kupi-Kupi Perkongsian Amalan Terbaik Pemimpin Seko­lah yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) selama dua hari, yang menampilkan pembentangan pilihan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Seramai 300 guru pula mendapat sentuhan ilmu daripada Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain tentang strategi dan amalan terbaik PdP Abad Ke-21.

Melengkapkan agenda ialah kehadiran 460 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bukan sahaja mengikuti program motivasi dan pecutan akhir daripada pakar motivasi Utusan Malaysia, tetapi menerima fail eksklusif Tutor, khusus untuk Hari Guru di Sabah sahaja.

Festival empat hari itu, bermula 13 Mei sehingga 16 Mei baru-baru ini, dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS.

Yang turut hadir, Menteri Pe­lancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof; Pengarah Uru­s­an Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Pengarah Eksekutif YTL Corp., Datuk Yeoh Soo Keng dan Naib Presi­den Kanan Jabatan Komunikasi Strategik Bank Simpanan Nasio­nal (BSN), Puspamarina Omar.

Yang hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Maimunah Suhaibul.

Musa dalam ucapannya berkata, penganjuran festival itu amat dialu-alukan sebagai menghargai para pendidik yang memainkan peranan besar mendidik anak bangsa dan menjadi tunjang utama dalam memperkasa serta memajukan pendidikan negara.

“Kerajaan negeri sentiasa me­ng­alu-alukan penglibatan agensi kor­porat dan swasta dalam meng­anjurkan sebarang aktiviti yang akan meningkatkan lagi kemajuan pendidikan negeri ini,” katanya.

Program itu ditaja sepenuhnya oleh YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) dan BSN serta turut disokong oleh UMS, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, FAMA, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Unitar International University (Unitar).

Yang turut memberikan soko­ngan ialah Nestle Malaysia Bhd., Revive Isotonic, Malindo Air, Hotel Grand Borneo, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) dan Buku Digital Interaktif Didik Hibur.

 

Sumber:  Utusan Online

http://www.utusan.com.my/pendidikan/fhg-sabah-catat-sejarah-tersendiri-1.336389

%d bloggers like this: