Anugerah Kebajikan Kanak-Kanak 3G bakar semangat Permata gerak lebih laju

27 Mei 2016 9:06 AM

 Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung PERMATA menerima Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G yang disampaikan oleh Pengasas merangkap Pengerusi Kumpulan Al-Faleh, Dr Sheikha Aisha Faleh Al-Thani (kiri) pada Majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global 2016 malam Khamis. Anugerah itu diterima atas kejayaan pembangunan program PERMATA.- BERNAMA

ISTANBUL 27 Mei – Anugerah Kebajikan Kanak-Kanak 3G yang diterima Permata Khamis malam, bukan sahaja melonjakkan program itu di pentas antarabangsa, malah sebagai pembakar semangat kepada semua agensi dan individu yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini boleh dijadikan dorongan untuk lebih memajukan program berkenaan dengan pelbagai lagi program baharu yang boleh dirangka pada masa hadapan.

“Saya merasakan ini merupakan satu perkara atau fenomena, (yang) anugerah ini boleh membakar lagi semangat kita untuk terus bekerja dan memikirkan sektor atau program baharu untuk kanak-kanak di Malaysia,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G Awards) 2016 di sini, malam tadi.

Anugerah Kebajikan Kanak-Kanak 3G disampaikan oleh Dr. Sheikha Aisha Faleh Al-Thani, yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Al-Faleh.

Isteri Perdana Menteri itu turut berharap melalui program Permata, ia akan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah sosial di negara ini.

Rosmah yang gembira dengan kejayaan itu, turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah bekerjasama dengan Permata sehingga memungkinkan mendapat pengiktirafan badan antarabangsa.

“Saya juga difahamkan bahawa mereka (pertubuhan antarabangsa) ingin berkongsi (maklumat dan kejayaan) berkenaan Permata di peringkat antarabangsa.

“Saya sudah beritahu mereka dan berkata Insya-Allah, sekiranya memerlukan kerjasama atau pertolongan dari kami, Permata akan sentiasa memberikan segala pertolongan yang diperlukan,” kata Rosmah.

Menyentuh mengenai model Permata yang dilihat boleh dijadikan ikutan negara lain, beliau berkata, ia turut dimaklumkan menerusi maklum balas pakar-pakar yang ditemui menerusi lawatan beliau bagi program Permata sebelum ini.

Menurutnya, menerusi maklum balas yang diterima, setiap negara perlu mengadakan program atau model seperti Permata yang bukan sahaja kebajikan kanak-kanak diambil kira, tetapi perkembangan pemikiran kanak-kanak seharusnya diberi perhatian, digilap supaya mereka dapat berkembang, sekali gus memberi sumbangan kepada negara.-BERNAMA

Sumber:  Utusan Online

http://www.utusan.com.my/pendidikan/anugerah-kebajikan-kanak-kanak-3g-bakar-semangat-permata-gerak-lebih-laju-1.335164

 

%d bloggers like this: