Pengiktirafan UNESCO bukti kejayaan

MAHDZIR (dua dari kiri) beramah mesra bersama pengetua, guru besar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam yang hadir pada Majlis Sepetang bersama Menteri Pendidikan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mustaffa.

PENGIKTIRAFAN Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam pelbagai bidang membuktikan usaha Malaysia menyediakan pendidikan bersifat inklusif kepada rakyat. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pendidikan inklusif sentiasa menjadi agenda keutamaan negara dalam melahirkan masyarakat berdaya saing, berpandangan jauh, saintifik serta progresif. Mahdzir yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, berkata antara pengiktirafan itu termasuk pelantikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim Presiden Majlis Antara Kerajaan Bagi Pengurusan Transformasi Sosial (MOST IGC) UNESCO. Simbol iktiraf “Pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur sebagai Presiden Suruhanjaya Sains UNESCO, menjadi simbol pengiktirafan serta keyakinan komuniti sains dunia terhadap kepemimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Hari UNESCO Malaysia 2016 di sini, semalam. Sementara itu, pada Program Sepetang Kepimpinan Sekolah Bersama Menteri Pendidikan di Sabak Bernam, Mahdzir berkata, beberapa penambahbaikan membabitkan infrastruktur dan fizikal 24 sekolah di daerah berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. “PPD Sabak Bernam kemukakan rancangan projek penambahbaikan serta pembangunan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Ada sudah diluluskan namun ada juga yang belum. “Antara projek yang sudah kita luluskan adalah projek pembinaan bangunan merangkumi enam hingga tujuh kelas selain pembaikan makmal,” katanya Program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mustafa itu, dihadiri kira-kira 200 pengetua, guru besar dan Penolong Kanan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

PETRONAS peruntuk RM110j taja 391 pelajar

KUALA NERUS: PETRONAS memperuntukkan RM110 juta bagi menaja 391 pelajar melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini. Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman, berkata komitmen berkenaan dilaksanakan melalui inisiatif pelaburan sosial korporat yang berteraskan tiga fokus utama iaitu pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar. “Tajaan ini diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) 2015 yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, mekanikal, geofizik, kewangan, serta perundangan berkaitan industri minyak dan gas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti luar negara di Amerika, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada. “Melalui PESP, pihak kami akan menaja pelajar dari peringkat pengajian pra universiti hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Tajaan Pendidikan kepada 48 pelajar Terengganu, di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS di Batu Rakit, di sini. Pada majlis itu, PETRONAS turut bertukar memorandum perjanjian dengan Yayasan Amir bagi Penajaan Sekolah Amanah. Menerusi perjanjian MOA di bawah program Kementerian Pendidikan itu, lima sekolah di Kemaman akan ditaja PETRONAS pada tahun ini bagi melaksanakan program pendidikan selama lima tahun. Sementara itu, Raiha berkata, sejak 1975 sejumlah RM3 bilion dilaburkan PETRONAS untuk membiayai pendidikan lebih 35,000 pelajar cemerlang.

Sumber: Berita Harian

‘Air Ajaib’ tiada unsur mencurigakan – Kamalanathan

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. -Foto Danial Noordin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengesahkan tiada unsur yang mencurigakan dalam mesin penapis ‘air ajaib’ yang diletakkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Padamaran A, Klang di Selangor, baru-baru ini. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Klang sudah menjalankan siasatan terhadap mesin penapis yang kononnya boleh membuatkan murid yang minum air tapisannya lulus cemerlang. “Siasatan yang dilakukan pada Jumaat lalu mendapati air itu adalah air minuman biasa yang ditapis menggunakan mesin penapis biasa. Guru Besar sekolah berkenaan yang mempromosikan ‘air ajaib’ terbabit turut disiasat. “Mesin penapis berkenaan juga sudah dibuka dan didapati pada bahagian dalamnya hanya terdapat beberapa penapis sahaja dan tiada apa-apa yang meragukan ditemui. “Namun, berikutan terdapat bantahan daripada guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), edaran air minuman berkenaan dihentikan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas melancarkan laman portal baharu Anugerah 3K di kementeriannya, di sebentar tadi. Kamalanathan berkata, buat masa ini PPD Klang masih menunggu laporan lanjut daripada Kementerian Kesihatan mengenai penapis air berkenaan. “Selepas menerima laporan Kementerian Kesihatan, barulah pihak kementerian akan putuskan tindakan selanjutnya terhadap guru besar berkenaan,” katanya. Sebelum ini, tindakan seorang guru besar menggalakkan pelajar meminum ‘air ajaib’ yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan agama menimbulkan kemarahan ibu bapa, sekali gus menjadi viral di laman Facebook. Guru besar terbabit turut meletakkan kain rentang di seluruh sekolah bagi tujuan promosi ‘air ajaib’ kepada semua warga sekolah termasuk guru dan meletakkan mesin layan diri bagi memudahkan pelajar membeli air berkenaan di dalam botol.

Sumber: Berita Harian

FHG Sabah catat sejarah tersendiri

30 Mei 2016 1:08 AM

 

Musa Aman (duduk, dua dari kanan) menurunkan tandatangan di atas meja khas di Bilik Darjah Pembelajaran Abad Ke-21 semasa melawat ruang pameran YTL Communication di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

FESTIVAL Hari Guru (FHG) Pe­ringkat Kebangsaan 2016 di Sabah mencatat sejarah tersendiri – paling diingati apabi­la 11,000 warga Kota Kinabalu membanjiri padang kawad di Uni­­versiti Malaysia Sabah (UMS) seawal 4 pagi, pada 14 Mei untuk menjayakan program Larian Tatap Bah Sayang Cikgu.

Belum pernah berlaku sepanjang lapan tahun penganjuran bersama oleh Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan sebegitu ramai masyarakat setempat meraikan hari keramat itu bersama-sama guru dan beberapa kenamaan, termasuk Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan barisan kanan pegawainya.

Begitu juga aktiviti kreatif lain seperti Kupi-Kupi Perkongsian Amalan Terbaik Pemimpin Seko­lah yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) selama dua hari, yang menampilkan pembentangan pilihan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Seramai 300 guru pula mendapat sentuhan ilmu daripada Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain tentang strategi dan amalan terbaik PdP Abad Ke-21.

Melengkapkan agenda ialah kehadiran 460 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bukan sahaja mengikuti program motivasi dan pecutan akhir daripada pakar motivasi Utusan Malaysia, tetapi menerima fail eksklusif Tutor, khusus untuk Hari Guru di Sabah sahaja.

Festival empat hari itu, bermula 13 Mei sehingga 16 Mei baru-baru ini, dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS.

Yang turut hadir, Menteri Pe­lancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof; Pengarah Uru­s­an Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Pengarah Eksekutif YTL Corp., Datuk Yeoh Soo Keng dan Naib Presi­den Kanan Jabatan Komunikasi Strategik Bank Simpanan Nasio­nal (BSN), Puspamarina Omar.

Yang hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Maimunah Suhaibul.

Musa dalam ucapannya berkata, penganjuran festival itu amat dialu-alukan sebagai menghargai para pendidik yang memainkan peranan besar mendidik anak bangsa dan menjadi tunjang utama dalam memperkasa serta memajukan pendidikan negara.

“Kerajaan negeri sentiasa me­ng­alu-alukan penglibatan agensi kor­porat dan swasta dalam meng­anjurkan sebarang aktiviti yang akan meningkatkan lagi kemajuan pendidikan negeri ini,” katanya.

Program itu ditaja sepenuhnya oleh YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) dan BSN serta turut disokong oleh UMS, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, FAMA, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Unitar International University (Unitar).

Yang turut memberikan soko­ngan ialah Nestle Malaysia Bhd., Revive Isotonic, Malindo Air, Hotel Grand Borneo, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) dan Buku Digital Interaktif Didik Hibur.

 

Sumber:  Utusan Online

http://www.utusan.com.my/pendidikan/fhg-sabah-catat-sejarah-tersendiri-1.336389

Usaha basmi dadah pjnm tingkatkan kesedaran pelajar

30 Mei 2016 1:08 AM

KHAIRUDIN Samad menyampaikan Papan Iklan Kesedaran Antidadah kepada

KHAIRUDIN Samad menyampaikan Papan Iklan Kesedaran Antidadah kepada guru besar dan murid sekolah rendah yang terpilih antara 11 sekolah sekitar Putrajaya yang terlibat menyertai program itu baru-baru ini.

PROGRAM Jelajah Malaysia Penyerahan Papan Iklan Kesedaran Antidadah anjuran Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM) yang masuk kali keempat penganjurannya tahun ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan awal mengenai bahaya jenayah dadah dalam kalangan pelajar.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkata, kesedaran yang disampaikan dalam bentuk visual atau papan iklan kepada pelajar di sekolah-sekolah terpilih membolehkan pelajar mendapatkan gambaran sebenar mengenai jenis da­dah dan impak buruk pengambilan dadah dalam kehidupan se­tiap manusia.

Menurutnya, inisiatif PJNM dalam mempergiatkan program itu setiap tahun harus dipuji dan wajar dicontohi semua pihak dalam membantu kerajaan membasmi kegiatan pengambilan dadah dengan lebih berkesan.

“Usaha berterusan yang dige­rakkan oleh PJNM dalam meng­anjurkan program kesedaran gejala pengambilan dadah dalam ka­la­ngan pelajar wajar diikuti se­kali gus memberi rangsangan ke­pada golongan terbabit untuk turut terlibat sama membasmi kegiatan ini dari terus berlaku.

“Pada masa yang sama, program ini mengajak pelajar untuk memahami mengenai ancaman dadah yang boleh memudaratkan kesihatan dan akhirnya memusnahkan masa depan mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan program Jelajah Malaysia Penye­rahan Papan Iklan Kesedaran Antidadah di dewan Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(2) yang turut dihadiri Penasihat PJNM, Abu Bakar Long baru-baru ini.

Sebanyak 11 sekolah rendah dan menengah sekitar Putrajaya terpilih menerima papan tanda iklan kempen keseda­ran antidadah PJNM yang diwakili guru besar dan pengetua sekolah masing-masing.

Sempena program itu, turut dilancarkan program Semarak Semangat Patriotik 2016 peringkat kebangsaan yang mana setiap pelajar yang menghadiri program itu turut menerima Jalur Gemilang sebagai persiapan menyambut sambutan kemerdekaan negara yang bakal disambut Ogos ini.

Selain itu, menurut Khairudin, program tersebut juga dilihat mampu meningkatkan penge­ta­huan dan kesedaran pelajar un­tuk terlibat sama memainkan pe­ranan mencegah gejala dadah sama ada secara langsung atau tidak langsung terutama menjadi penasihat rakan sebaya bagi mengelak dalam gejala tersebut.

“Golongan remaja paling ter­dedah dan berisiko besar terlibat dalam gejala penagihan dadah ini kerana pada peringkat ini, mereka paling mudah dipengaruhi dan menghadapi pelbagai cabaran emosi ditambah pula de­ngan pelbagai kecanggihan media sosial kini,’’ ujarnya.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, penganjuran program itu seiring dengan penubuhan PJNM iaitu bersama dengan pi­hak berkuasa dan membantu ke­rajaan untuk membanteras, mem­bendung dan menyedarkan masyarakat mengenai isu dadah dari semasa ke semasa.

“PJNM juga menjadi mata dan telinga kepada agensi membasmi dadah mengenai segala maklumat risikan yang dijalankan oleh sukarelawan kami dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa terlibat dalam usaha pembasmian gejala ini dapat dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Sumber:  Utusan Online

http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/usaha-basmi-dadah-pjnm-tingkatkan-kesedaran-pelajar-1.336392

 

Rangka pelan pendidikan khas

SITI NORHAWA MOHD. ALI  |  30 Mei 2016 1:10 AM

SEBAHAGIAN pelajar lepasan SPM bertanya mengenai tawaran tempat

SEBAHAGIAN pelajar lepasan SPM bertanya mengenai tawaran tempat di IPT dan institut kemahiran sempena program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/FARIZ RUSADIO

Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kementerian harus memberi fokus kepada pelajar miskin yang tidak mampu membiayai kos pendidikan dan belanja harian ketika menyambung pelajaran.

Jelasnya, perkara itu penting kerana pelajar yang keciciran berpotensi untuk terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang men-yumbang kepada ketidakstabilan keamanan negara.

“Kita perlu menyediakan platform untuk anak-anak golongan kurang berkemampuan termasuk anak yatim, anak peneroka, anak petani, anak nelayan serta Orang Asli untuk turut sama merasai arus pembelajaran di menara gading dan institusi kemahiran.

“Meskipun banyak usaha yang telah dilakukan, peratusan pelajar Melayu keciciran masih tinggi bermakna kita perlu menggandakan usaha untuk memastikan mereka ini dapat melanjutkan pelajaran dan boleh berdikari untuk mencari pendapatan sendiri,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 cawangan Wangsa Maju di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Barisan Nasional (BN) Kawasan Wangsa Ma­ju, Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Mengulas mengenai JPB 2016, Sahol Hamid berkata, setakat ini seramai 32,000 pelajar yang gagal melanjutkan pengajian telah ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi (ipt) dan institut kemahiran menerusi program tersebut.

“Siri jelajah ini sudah pergi ke 57 lokasi di seluruh negara dan terdapat tiga lagi kawasan sebelum berakhir pada Julai 2016.

“Siri ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan memperkasakan pendidikan tinggi bumiputera agar setanding dengan bangsa-bangsa lain,” katanya.

 

Sumber :  Utusan Online

http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/rangka-pelan-pendidikan-khas-1.336433

Pendidikan vokasional penting untuk masa depan negara

KASTHURI JEEVENDRAN  |  29 Mei 2016 8:45 AM
Chong Sin Woon
CHONG SIN WOON

Timbalan Men­teri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, ketika ini penglibatan pelajar dalam bidang tersebut tidak begitu memberangsangkan malah pelabur luar banyak menghadapi masalah di negara ini kerana kekurangan tenaga mahir dalam kalangan warga tempatan.

“Kerajaan dalam usaha memartabatkan pendidikan vokasional supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

“Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini. Sebelum ini, pendidikan vokasional hanya menjadi alternatif kepada pelajar kurang cemerlang namun ketika ini, bidang ini sudah menjadi pilihan utama.

“Kita berharap untuk melahirkan sekurang-kurangnya 250,000 pelajar dalam bidang ini menjelang 2020,” katanya selepas merasmikan pameran dua hari Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2016 anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, Pemuda MCA dan Persatuan Pusat Bertauliah-Kolej Kemahiran Jabatan Pembangunan Kemahiran (FeMAC) di sini semalam.

Jelas Sin Woon, peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

“Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja. Kejayaan pendidikan di Malaysia perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik semata-mata, tetapi perlu ada definisi baru kepada kejayaan tersebut iaitu melalui bidang teknikal serta vokasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sin Woon yang merupakan Ketua Pemuda MCA berkata, selain kerajaan, parti politik, agensi swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga komited dalam meluaskan skop bidang kemahiran setakat ini.

“Ada juga segelintir pelajar kita sanggup ke luar negara bagi mempelajari latihan kemahiran dalam bidang tertentu dan kerana itu, kerajaan kini fokus untuk memperluaskan pendidikan vokasional selain mewujudkan lebih banyak institusi pengajian tinggi vokasional pada masa hadapan,” ujarnya.

Sumber:     Utusan Online

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pendidikan-vokasional-penting-untuk-masa-depan-negara-1.335922