Tuah persembahan SK Jugra

JUARA dari Sekolah Kebangsaan Jugra, Naib Juara, Sekolah Taman Impian Emas, Johor dan tempat ketiga, Sekolah Kebangsaan Convent Batu Pahat, Johor bergambar bersama pada Pentas akhir Pertandingan Pengucapan Berirama Kreatif anjuran Yeo’s dan Berita Harian di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia. – Foto Munira Abdul Ghani

SERDANG: Keunikan persembahan dan lirik menarik membantu pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Jugra, Selangor muncul juara Pertandingan Pengucapan Berirama Kreatif Yeo’s Yeogurt dan BH 2016 (Dwibahasa) yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini semalam. Pasukan SK Jugra yang menewaskan sembilan pasukan pada peringkat akhir pertandingan itu membawa pulang wang tunai RM3,000, 50 karton Yeo’s Yeogurt dan sijil. Naib Presiden Kumpulan Yeo’s Malaysia dan Indonesia, Ong Chay Seng, berkata pertandingan itu bukan saja menyediakan landasan bagi murid menunjukkan bakat, tetapi juga memberi kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat. “Pihak kami akan mengadakan lebih banyak program kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membantu melahirkan murid yang aktif dan berbakat, sekali gus melahirkan pemimpin masa depan. “Bersesuaian dengan matlamat pertandingan, pihak Yeo’s berharap murid di negara ini dapat menghayati mesej yang disampaikan menerusi program seumpama ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu. Diadili juri berpengalaman Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Rozainum Ahmad. Yang turut hadir Naib Presiden Kanan Bahagian Jualan Yeo’s, Lee Hon Seng; Pengarang Bersekutu BH2/Mingguan BH, Azhar Abu Samah dan Pengurus Kanan Jabatan Jualan dan Pengedaran Akhbar The New Straits Times Press (NSTP), Zattul Iffah Mohammad Zaidi. Pertandingan terbabit diadili oleh wakil Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Jowana Johari; Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Yeo’s, Joe Wong dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar. Sementara itu, guru pengiring SK Jugra, Mustapha Maraining, berkata kesungguhan pasukan itu mengadakan latihan meskipun terbabit dalam pelbagai aktiviti lain berbaloi apabila diumumkan johan pertandingan itu. “Sejak kebelakangan ini, sekolah agak sibuk dengan beberapa aktiviti seperti sukan dan sambutan Hari Guru, namun kami tetap melakukan latihan apabila melihat kesungguhan murid yang begitu bersemangat. “Sebelum ini, sekolah pernah memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh Yeo’s, tetapi ini pertama kali meraih gelaran juara,” katanya.

JUARA dari Sekolah Kebangsaan Jugra pada Pentas akhir Pertandingan Pengucapan Berirama Kreatif anjuran Yeo’s dan Berita Harian di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia. – Foto Munira Abdul Ghani

INFO

Pertandingan Pengucapan Berirama Kreatif Yeo’s Yeogurt-BH 2016 (dwibahasa)

– Anjuran syarikat pengeluar minuman, Yeo Hiap Seng (M) Bhd (Yeo’s) dengan kerjasama BH.

– Bertemakan `Gaya Hidup Sihat bersama Yeo’s Yeogurt’.

– Anjuran syarikat pengeluar minuman, Yeo Hiap Seng (M) Bhd (Yeo’s) dengan kerjasama BH.

– Johan: SK Jugra, Banting, Selangor (Wang tunai RM3,000; 50 karton Yeo’s Yeogurt dan Sijil Kecemerlangan)

– Naib Johan: SK Taman Impian Emas, Johor Bahru (Wang tunai RM2,000; 50 karton Yeo’s Yeogurt dan Sijil Kecemerlangan)

– Ketiga: SK Convent Batu Pahat, Johor (Wang tunai RM1,000; 50 karton Yeo’s Yeogurt dan Sijil Kecemerlangan)

– Tujuh Saguhati: Wang tunai sejumlah RM500;  20 karton Yeo’s Yeogurt dan Sijil Kecemerlangan.

1. SK (2) Jalan Batu Tiga, Klang, Selangor

2. SK Bukit Kuchai, Puchong, Selangor

3. SK Seri Tasik, Kuala Lumpur

4. SJK (C) Pulai, Johor

5. SK Parit Bunga, Johor

6. SK Convent, Melaka

7. SK Puteri, Seremban, Negeri Sembilan (Kumpulan Seri Kandi Puteri)

 

Hadiah Anugerah Cemerlang

1. Kumpulan Dengan Lirik Terbaik – SK Jugra, Selangor (Wang tunai sejumlah RM500)

2. Kumpulan Paling Kreatif – SK Convent Infant Jesus (2) Melaka (Wang tunai sejumlah RM500)

3. Kumpulan Dengan Semangat Berpasukan Terbaik – SK Seri Tasik, Kuala Lumpur (Wang tunai sejumlah RM500)

 

Guru pengiring SK Jugra, Mustapha Maraining

“Idea untuk menghasilkan lirik yang membantu kami memenangi pertandingan ini diperoleh berdasarkan pengalaman sebelum ini dengan suntikan beberapa elemen seperti watak virus dan adiwira yang bersesuaian dengan tema.”

 

Guru pengiring SK Taman Impian Emas, Johor Bahru

“Kejayaan ini amat membanggakan kerana ini ialah pasukan muda yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan 4, namun latihan dan kajian yang dilakukan pada peringkat awal berjaya membuahkan hasil.”

Sumber: Berita Harian