Seoul sedia bantu ASEAN bangunkan e-Pembelajaran

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) beramah mesra dengan Menteri Pendidikan Korea Selatan, Lee Joon Sik (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN Kesembilan di ibu negara hari ini. – Foto BERNAMA

PETALING JAYA : Korea Selatan berminat membantu ASEAN membangunkan sistem pendidikan berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sistem e-Pembelajaran yang dikenali sebagai Universiti Siber ASEAN (ACU) bertujuan memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran antara universiti di rantau ini dengan negara Asia Timur lain seperti Korea Selatan, China dan Jepun. Menteri Pendidikan Korea Selatan, Lee Joonsik, berkata jika hasrat menggunakan e-Pembelajaran itu secara meluas di ASEAN, ia tidak akan mengurangkan jumlah pertukaran pelajar dari rantau ini bagi mengikuti pengajian dan latihan di institusi pendidikannya. Katanya, ACU cuma berperanan sebagai platform pembelajaran sahaja dan ia akan memudahkan tugas pendidik mahupun pelajar mendapatkan sumber rujukan dan apa jua berkaitan pendidikan. “Cadangan ini diutarakan sendiri oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan yang juga Pengarah Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi ASEAN sejak 2009 lagi. “Justeru, apa yang diharapkan, ia diterima baik oleh semua negara terbabit. Pengenalan sistem ini tidak akan mengakibatkan pengurangan jumlah pertukaran pelajar antara negara terbabit,” katanya selepas Mesyuarat Peringkat Menteri Pendidikan ASEAN+3 (APT EMM), hari ini. Dalam satu kenyataan bersama mesyuarat APT, Menteri Pendidikan ASEAN, Korea, China dan Jepun bersetuju meluluskan garis panduan pertukaran dan pergerakan pelajar yang bermatlamat mempromosikan pembangunan pengajian tinggi dalam kalangan negara berkenaan. Mesyuarat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan (SOM-ED) berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Mei lalu manakala mesyuarat peringkat Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) yang bermula semalam akan berakhir hari ini. Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka merumuskan inti pati perbincangan pada jam 4 petang ini.

Sumber: Berita Harian