UPSI lepasi sasaran 80% kebolehpasaran graduan

JUNAIDI ABU BAKAR (kiri) menyampaikan anugerah kepemimpinan kepada

JUNAIDI ABU BAKAR (kiri) menyampaikan anugerah kepemimpinan kepada seorang pelajar dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kepemimpinan Kolej UPSI di Ipoh, Perak, semalam. GAMBAR/IHSAN UPSI

IPOH 24 Mei – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim dekat sini mencapai 86 peratus kebolehpasaran graduannya tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran 80 peratus yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, pihaknya amat berbangga kerana berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan semasa majlis konvokesyen UPSI, tahun lalu itu.

“Pada tahun ini pula, sasaran yang ditetapkan untuk kita (UPSI) meningkat kepada 85 peratus.

“Insya-Allah, kita sedang merancang pelbagai aktiviti di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bagi memastikan graduan kita memperoleh pekerjaan sesuai seperti disasarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kepemimpinan Kolej UPSI, di sini.

Dalam perkembangan berasingan, Junaidi berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 pelajar antarabangsa belajar di UPSI tahun ini sebagai usaha untuk mengantarabangsakan universiti itu.

Menurut beliau, seramai 400 pelajar luar negara telah belajar di universiti tersebut tahun lalu.

“Sehingga kini jumlah pelajar antarabangsa yang datang ke UPSI hanyalah 295 orang dan kita yakin jumlah itu akan dapat dipertingkatkan hasil beberapa inisiatif yang kita jalankan.

“Ia termasuk menyediakan beberapa kemudahan untuk pelajar terlibat menerusi program zamalah, potongan yuran pengajian atau diskaun kepada pelajar dari Thailand dan Indonesia dan juga pelajar dari negara miskin atau negara bermasalah,” katanya.

Tambah beliau, analisis yang lakukan turut membuktikan bahawa UPSI mempunyai kekuatan tersendiri dengan keupayaan akademik pensyarahnya, fasiliti dan prasarana yang ada selain peluang-peluang yang membuka banyak ruang untuk bergerak dan bertindak.

“Usaha bersepadu juga akan digerakkan bagi memastikan berlaku hubungan muhibah UPSI dengan Badan Biasiswa Luar Negara seperti Lembaga Pengelola Dana Pendidikan Indonesia, Dongfang International Center for Educational Exchange dan China Scholarship Council supaya memudahkan pelajar-pelajar dari negara itu dihantar ke UPSI sebagai destinasi pengajian luar negara mereka,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: