Tutor Bahasa Inggeris jadi bahan rujukan di sekolah – See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/i-tutor-bahasa-inggeris-i-jadi-bahan-rujukan-di-sekolah-

MURID Tahun Enam SK Saujana Impian menunjukkan Tutor Bahasa Inggeris

MURID Tahun Enam SK Saujana Impian menunjukkan Tutor Bahasa Inggeris dalam majlis pelancaran program akhbar pendidikan itu di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR 24 Mei – Lebih 25,600 pelajar dari 128 sekolah rendah dan menengah di daerah Hulu Langat dekat sini akan mendapat manfaat daripada Program Tutor Dalam Pembelajaran Bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan di sekolah-sekolah terlibat sehingga akhir tahun ini.

Program anjuran Aspirasi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MPPIBG) Hulu Langat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan daerah itu akan menjadikan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor Bahasa Inggeris sebagai bahan pembelajaran di sekolah.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu La­ngat, Datuk Markiman Kobiran di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, Hulu Langat, hari ini.

Yang turut hadir Penyelaras MPPIBG Hulu Langat, Datuk Paduka Azami Mohamed; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Zainariah Ahmad Yusop; Pengurus Kanan Pemasaran dan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Idris Asaran dan Guru Besar SK Saujana Impian, Roslina Hashim.

Dalam majlis itu turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Utusan Me­layu (M) Berhad yang diwakili Idris dengan wakil lima sekolah terlibat bagi menyatakan komitmen mereka untuk terbabit dalam program berkenaan.

Dalam ucapannya Markiman berkata, program tersebut mampu memperbaiki kelemahan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris sekali gus meningkatkan mutu pendidikan negara.

“Secara keseluruhannya Tutor mengenalkan konsep pembelajaran yang efektif dan input yang diketengahkan meliputi latih tubi mengikut tahap pembelajaran pelajar.

“Saya melihat akhbar pendidikan Utusan Malaysia ini wajar diperkenalkan ke seluruh sekolah di Selangor termasuk di kawasan luar bandar sekitar Klang dan Kuala Selangor bagi merapatkan jurang pendidikan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau yakin program itu mampu membantu murid yang lemah dalam Bahasa Inggeris menguasai subjek itu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

“Kejayaan menguasai subjek tersebut bukan hanya dengan cara mendapatkan A, tetapi harus juga mempunyai unsur penambahbaikan dari segi bacaan, penulisan dan tatabahasa,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: