Setiap universiti awam digesa bangunkan potensi wakaf

PUTRAJAYA 24 Mei – Semua universiti awam digesa membangunkan potensi instrumen wakaf sebagai satu usaha untuk meningkatkan dana pendidikan yang sekali gus dapat mengurangkan pergantungan kepada dana kerajaan.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Ismail Omar berkata, wakaf merupakan instrumen kewangan Islam terbaik dengan setiap universiti awam memainkan peranan untuk mewujudkan projek wakaf berdasarkan kemampuan masing-masing.

Katanya, wakaf merupakan jalan keluar terhadap kekangan peruntukkan universiti awam ekoran pengurangan bajet kerajaan terhadap Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun ini.

“Misalnya mereka boleh menganjurkan program wakaf dana pendidikan tunai menerusi penglibatan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan terhadap usaha murni tersebut.

“Selain itu, universiti awam masing-masing boleh membangunkan aset mereka yang sedia ada untuk tujuan wakaf dengan setiap manfaat keuntungan disalurkan kepada tabung dana pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Perbincangan Meja Bulat yang bertajuk Membugar Potensi Wakaf Pengajian Tinggi anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.

Perbincangan meja bulat itu dianjurkan oleh MPN sebagai salah satu inisiatif badan itu mengumpul input kepakaran dan pengetahuan dalam kalangan ahli akademik dalam membangunkan wakaf pendidikan tinggi di universiti awam.

Dalam masa sama, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman memberitahu, kesedaran dalam kalangan universiti awam mengenai kepentingan wakaf masih kurang apabila hanya empat daripada 20 universiti awam di negara ini yang mengetengahkan instrumen itu sebagai sumber dana pendidikan.

Ujarnya, empat universiti awam tersebut adalah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Oleh itu, semua masyarakat termasuk pihak pentadbir universiti awam perlu mempunyai kesedaran tinggi berkenaan kepentingan wakaf terhadap pembangunan pendidikan itu sendiri,” katanya.

“Kita tidak boleh hanya terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan sahaja dengan setiap universiti awam perlu mencari dana sendiri bagi memastikan kelangsungan pengurusan kewangan masing-masing,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: