Semak Pelan Tindakan Pendidikan APT

Madinah Mohamad (duduk, tujuh dari kiri) bersama delegasi yang

Madinah Mohamad (duduk, tujuh dari kiri) bersama delegasi yang hadir sebelum memulakan mesyuarat APT SOM-ED ke-7 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Mei – Semakan semula Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN Campur Tiga (APT) 2010-2017 antara perkara yang akan dibentangkan dalam Me­syuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-9 yang bermula esok.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad yang turut memberitahu berkemungkinan satu pelan baharu dirangka bagi menggantikannya.

Katanya, Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN Campur Tiga (APT SOM-ED) ke-7 yang berlangsung hari ini telah membincangkan sama ada perlu memperbaharui Pelan Tindakan Pendidikan APT kerana bakal berakhir pada tahun depan serta menilai semula semua program yang telah dilaksanakan sejak 2010.

Katanya, hal itu kerana sejak dilaksanakan sehingga ke hari ini banyak perubahan telah berlaku terutamanya daripada aspek teknologi manakala ilmu yang dijana pula berkembang begitu pesat.

“Jadi, kami berpandangan ini merupakan satu peluang untuk mengkaji semula pelan tindakan pendidikan berkenaan dan mungkin merangka pelan baharu. Itu akan kami bawa dan bentangkan kepada peringkat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN untuk persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri APT SOM-ED ke-7, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof.

APT SOM-ED ke-7 merupakan antara mesyuarat yang diadakan sepanjang berlangsungnya ASED ke-9 sejak semalam hingga Khamis ini.

Selain 10 negara ASEAN, APT juga diwakili oleh China, Jepun dan Korea Selatan.

Mengulas lanjut, Madinah memberitahu, menerusi kerjasama dengan APT, jurang antara negara dalam pendidikan tinggi boleh diatasi menerusi pelbagai kaedah terutamanya apabila berjaya mewujudkan platform e-learning yang menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

“Jadi, tidak kira di mana kita berada sama ada di negara se­perti Kemboja, Myanmar, Laos dan Viet­nam atau negara ASEAN lain, segala ilmu atau penghasilan ilmu itu boleh dikongsi melalui platform berkenaan.

“Itu merupakan salah satu bidang kerjasama kukuh yang ditawarkan oleh China, Jepun dan Korea Selatan,” jelas beliau.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: