Perdana Menteri lancar program WOW 2016 UMT

NAJIB TUN RAZAK tertarik melihat alat Wave Glider di galeri pameran sempena program Minggu Lautan Se

NAJIB TUN RAZAK tertarik melihat alat Wave Glider di galeri pameran sempena program Minggu Lautan Sedunia 2016 di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, semalam. Wave Glider berfungsi sebagai pengumpul data fizikal lautan seperti ombak, arus serta suhu bagi tujuan penyelidikan. – Utusan /AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 23 Mei – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan tradisi tahunan dengan menjayakan program Minggu Lautan Sedunia (WOW) 2016 UMT yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja beliau ke negeri ini hari ini.

Program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat UMT untuk menyemai kecintaan terhadap persekitaran marin dalam kalangan warganya dan masyarakat agar turut menjaga kepentingan laut yang memberi kesan kepada kehidupan manusia.

Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Dr. Wan Izatul Asma Wan Talaat memberitahu, kesediaan Perdana Menteri untuk merasmikan program itu merupakan satu penghormatan kepada UMT bagi memenuhi komitmennya selaku universiti peneraju dalam ilmu kelautan.

“UMT yang memfokuskan kepada ilmu kelautan serta sumber akuatik telah mengambil inisiatif melaksanakan program ini sempena sambutan Hari Lautan Sedunia bertemakan Laut Sihat, Planet Sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perasmian itu dilakukan sejurus selepas Perdana Menteri merasmikan penutup Ijtimak Pondok Malaysia kali kedua anjuran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia di UMT.

Menurut Wan Izatul Asma, sebanyak 24 program telah dan sedang dijalankan oleh UMT bermula 12 Mei hingga 8 Jun ini dalam usaha memberi kesedaran juga menghayati peranan serta kepentingan laut kepada manusia.

“Antaranya ialah pameran WOW UMT 2016 yang turut disertai oleh Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA), Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, INOS dana beberapa institut penyelidikan berkenaan kelautan,” ujarnya.

Pada program itu, Perdana Menteri turut diperkenalkan dengan peralatan Wave Glider yang digunakan bagi pengumpulan data fizikal lautan seperti ombak, arus dan suhu bagi tujuan penyelidikan.

Wave Glider merupakan projek usahasama antara INOS UMT dan ASMA di mana UMNT merupakan universiti pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan peralatan tersebut yang menggunakan teknologi satelit.

Selain itu, antara program WOW UMT 2016 yang turut menarik perhatian adalah Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan (SLPW) yang telah diadakan selama seminggu di Pulau Bidong melibatkan seramai 2,250 pelajar.

Menurut Wan Izatul Asma, program SLPW yang bermula sejak 2005 telah menarik minat seramai 20,456 pelajar UMT dan sekali gus menjadi program ‘trademark’ berkaitan kelautan bagi universiti itu.

Pengisian program adalah menjurus kepada ujian tahap keyakinan pelajar berhadapan dengan risiko ketika berada di laut serta pendedahan terhadap usaha bagi menjaga warisan juga khazanah laut.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: