Penguasaan bahasa Inggeris tingkat kebolehpasaran graduan IKBN

 

PUTRAJAYA: Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) perlu lakukan transformasi dengan menyertai sesi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris supaya mereka dapat bersaing pada peringkat global. Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata transformasi itu harus merangkumi usaha menaik taraf tenaga pengajar untuk berkomunikasi secara baik dalam bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan lepasan IKBN mendapatkan pekerjaan apabila menamatkan pengajian. Beliau turut menggalakkan golongan belia menyertai mana-mana institut latihan awam mengikut bidang dan minat masing-masing bagi dilatih sebagai pekerja mahir untuk memenuhi keperluan industri dan juga modal insan negara. “Graduan IKBN atau mana-mana pelatih yang sudah tamat pengajian di institut latihan awam sepatutnya menerima gaji lebih tinggi kerana memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan modal insan negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KBS dengan Kumpulan DRB-Hicom, di sini hari ini. MOU itu bertujuan menyediakan penempatan latihan industri (OJT) pelajar IKBN dalam bidang kemahiran bersesuaian. Pada masa yang sama, dua lagi MOU turut dimeterai membabitkan KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS) dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) bagi penempatan OJT 100 pelajar IKBN dalam bidang bersesuaian sepanjang tempoh tiga tahun.

Sumber: Berita Harian