Pendidikan antidadah jadi elemen penting

MAHDZIR KHALID dan Noh Omar (dua dari kiri) bersama Tokoh Guru,

MAHDZIR KHALID dan Noh Omar (dua dari kiri) bersama Tokoh Guru, Datin Zaleha Abu Hassan (tiga dari kiri) dan Datin Ramlah Asmuri (dua dari kanan) pada sambutan Hari Guru Peringkat PPD Petaling Perdana 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor, semalam. Utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei – Pendidikan antidadah akan dijadikan sebagai salah satu unsur penting dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran di setiap sekolah seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, meskipun belum ada rancangan untuk menjadikannya sebagai subjek wajib bagi guru dan pelajar, pelaksanaannya harus dipandang serius oleh semua Jabatan Pendidikan.

“Memandangkan sudah banyak subjek wajib di sekolah, kita belum bercadang menjadikan pen­didikan antidadah sebagai sesuatu yang wajib.

“Walau bagaimanapun, Jabatan Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) harus memainkan peranan untuk memastikan setiap sekolah melaksanakan program yang telah direncanakan kementerian,” katanya kepada pem­berita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat PPD Petaling Perdana 2016 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Muhamad Radzi Abdullah.

Tambah Mahdzir, setakat ini, tiga program pendidikan antidadah dijalankan bagi mengurangkan masalah dadah dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan.

Jelasnya, ketiga-tiga program itu melibatkan intervensi dan sesi kaunseling bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), program lima minit penerangan dan saringan awal ujian urin terhadap pelajar.

“Program-program ini sangat penting bagi memastikan pelajar sedar bahaya dadah dan implikasi­nya terhadap diri mereka dan masyarakat.

“Contohnya program lima minit iaitu kita akan berikan penerangan mengenai dadah setiap hari kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan mereka mengenai dadah,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: