Pelan Tindakan Pendidikan APT 2010-2017 perlu disemak

 

PETALING JAYA: Semakan semula Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN+3 (APT) 2010-2017 akan dicadangkan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-9 esok. Cadangan menyemak semula pelan tindakan berkenaan dicapai dalam mesyuarat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN (SOM-ED)+3 ke-7 hari ini. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, berkata Pelan Tindakan APT yang bermula sejak 2010 perlu diperkukuhkan lagi dengan mengambil kira keperluan dan perubahan semasa dalam bidang teknologi dan pendidikan. Beliau berkata, cadangan semakan semula itu bertujuan mewujudkan satu pelan tindakan baharu yang memenuhi keperluan semasa dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat. “Perbincangan tadi (SOM-ED+3) adalah untuk melihat keperluan memperbaharui pelan tindakan APT+3 selepas 2017 dan keperluan menilai semula program yang dilaksanakan dalam jangka masa berkenaan. “Sejak 2010, perubahan berlaku dalam bidang teknologi dan ilmu yang dijana berkembang pesat,” katanya pada sidang media selepas berakhir SOM-ED+3, hari ini. Selain 10 negara anggota ASEAN, SOM-ED+3 disertai tiga rakan strategik iaitu China, Jepun dan Korea Selatan. Madinah berkata, menerusi semangat ASEAN, SOM-ED+3 berjaya diselesaikan lebih sejam awal, sekali gus menggambarkan kerjasama erat antara 10 negara anggota dan tiga rakan strategik. “Tiada isu yang menjadi rintangan atau halangan hingga kita mampu untuk menyelesaikan mesyuarat sejam lebih awal,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, kesepakatan dan kerjasama erat antara negara anggota SOM-ED+3 dalam bidang pendidikan berjaya dicapai berikutan tiada kawalan ketat daripada kerajaan masing-masing, sekali gus menyebabkan hubungan antara institusi pendidikan berkembang dan dipacu dengan lebih berkesan.

Sumber: Berita Harian