Jepun mahu tingkatkan 
kemasukan pelajar asing

Hiroki Tooyoka

KUALA LUMPUR 24 Mei – Jepun berhasrat meningkatkan kema­sukan pelajar asing ke negara itu terutama dari ASEAN kepada 300,000 orang menje­lang 2020.Ketua delegasi Jepun pada Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan (APT SOM-ED) Ke-7, Hiroki Tooyoka berkata, jumlah tersebut adalah peningkatan sekali ganda berbanding kira-kira 150,000 pelajar ­asing yang kini menuntut da­lam pelbagai jurusan di beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Jepun sedang me­laksanakan beberapa inisiatif termasuk merangka biasiswa baharu bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Seiring dengan pelbagai pendekatan yang sedang diusahakan, kami berharap dapat menggandakan bilangan pelajar asing kepada 300,000 orang dalam tempoh empat tahun lagi.

“Pada masa sama, kami juga berharap dapat meningkatkan bilangan penghantaran pelajar Jepun ke luar negara,” katanya ketika ditemui selepas mengha­diri mesyuarat berkenaan, di sini hari ini.

Dalam pada itu Tooyoka berkata, Je­pun mempunyai hu­bungan baik dengan Malaysia dalam bidang pendidikan termasuk pertukaran pelajar.

Katanya, sejak 2014 seramai 2,475 pelajar Malaysia menuntut di pelbagai IPT di negara itu manakala 1,569 pelajar Jepun sedang mengikuti pengajian di Malaysia sejak Oktober tahun lalu.

Menurutnya, Jepun berharap agar semua negara anggota akan terus mempromosikan Pendidikan dan Pembangunan Lestari (ESD) dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan serantau agar lebih berdaya saing dan seiring dengan perkembangan global.

“Selain memastikan mendapat akses kepada pendidikan, kualiti juga merupakan antara cabaran yang dihadapi dalam sistem pendidikan pada masa depan,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: