BTN akan tandatangani MoU dengan Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR : Biro Tatanegara (BTN) akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) program dan modul pertama latihan BTN dengan Kementerian Pendidikan, 7 Jun ini. MoU berkenaan akan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata MoU berkenaan membabitkan penggunaan modul latihan terhadap lebih 400,000 guru sekolah rendah dan menengah yang bakal menjalani latihan BTN di seluruh negara. Katanya, guru berperanan sebagai ejen perubahan di luar bandar mendidik anak bangsa dan meletakkan keutamaan pada negara selain, menghakis persepsi negatif tanpa mengira fahaman politik dan perbezaan kaum bagi meningkatkan semangat patriotik terhadap negara. “Mesyuarat bersama ahli panel sidang meja bulat sudah selesai, baru-baru ini. Proses terkini, panel sedang mengkaji semula silibus program dan modul pertama latihan BTN sebelum dimuktamadkan, Jun ini. “Pendekatan modul baru tidak lagi membabitkan modul ceramah sebaliknya, pendekatan interaksi kenegaraan dan inteprestasi sekular bangsa terhadap kepimpinan seperti program radio Langit Biru, My Selfie Patriot,” katanya pada sidang media selepas Sembang Santai Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM), Sekretariat Nur Falah dan Mahasiswa Anak Johor, di sini. Azalina turut melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Naib Canselor UM, Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud di Pejabat Timbalan Naib Canselor.

Sumber: Berita Harian