ASEAN, rakan strategik perkukuh kerjasama pendidikan

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) beramah mesra bersama Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Vongthep Arthakaivalvatee (kanan) pada majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Kesembilan hari ini. Turut hadir Menteri Sukan dan Pendidikan Laos Sengdueane Lachanthaboune.– Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Kerjasama antara negara ASEAN+3 (APT) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) adalah penting untuk mengembangkan lagi bidang pendidikan di luar negara anggota ASEAN dalam usaha membina kapasiti, membangunkan modal insan serta daya saing serantau. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-9 yang bermula hari ini menyediakan platform terbaik untuk memperkukuhkan kerjasama antara negara anggota dan rakan strategik ASEAN. Katanya, beliau yakin ASEAN dan rakan strategik akan dapat mengenal pasti kekuatan dan cabaran, sekali gus memberikan pandangan untuk merealisasikan Pelan Induk Pendidikan ASEAN 2016-2020 menerusi tindakan serta penghasilan menyeluruh. “Pelan induk itu dibangunkan secara konsensus antara negara anggota ASEAN dalam usaha memperkukuhkan sektor pendidikan di rantau ASEAN yang akan memberi tumpuan kepada inisiatif penting merentasi sektor dan peluang berkaitan pendidikan. “Ia juga akan menjadi pelan tindakan dalam menerajui pendidikan di rantau ASEAN ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan ASED Ke-9, di di sini, sebentar tadi. ASED Ke-9 membabitkan enam kelompok mesyuarat membabitkan mesyuarat peringkat menteri dan pegawai kanan tertinggi selama empat hari berakhir esok. Seramai 10 Menteri Pendidikan ASEAN menghadiri ASED Ke-9. Turut hadir, rakan strategik APT iaitu Jepun, Korea dan China, manakala EAS pula dianggotai lima negara iaitu Amerika Syarikat, India, New Zealand, Russia dan Australia. Pelan Induk Pendidikan ASEAN 2016-2020 yang menggariskan 70 aktiviti pendidikan akan dilaksanakan negara ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang. Mahdzir berkata, selaku tuan rumah dan pengerusi ASED Ke-9, Malaysia menegaskan komitmen menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan negara anggota ASEAN dalam bidang pendidikan. “Untuk tempoh dua tahun akan datang, kita akan maju bersama untuk memperkasakan kehidupan dengan menyediakan pendidikan sepanjang hayat di rantau ASEAN,” katanya.

Sumber: Berita Harian