SOM-ED+3 Ke-7

PETALING JAYA: Mesyuarat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN (SOM-ED)+3 Ke-7 sempena Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-9 hari ini dijangka mempertimbangkan keputusan yang dibuat dalam beberapa mesyuarat ASEAN berkaitan pendidikan sejak SOM-ED+3 ke-6 di Bangkok, tahun lalu. SOM-ED+3 dihadiri pegawai kanan tertinggi dari 10 negara ASEAN dan rakan strategik dari China, Jepun dan Korea Selatan. Sekretariat ASEAN akan memperjelaskan beberapa isu berkaitan Visi Asean 2025 dan Pelan Tindakan Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) dalam mesyuarat berkenaan. SOM-ED+3 kali ini dijangka turut menerima penjelasan berhubung tindakan susulan terhadap keputusan yang dicapai dalam Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-18 yang diadakan pada 21 November tahun lalu di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27. Pada Sidang Kemuncak ASEAN+3 itu, China, Jepun dan Korea Selatan menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai pendidikan tinggi. SOM-ED+3 akan berkongsi maklumat dan pandangan berhubung kerjasama antara negara ASEAN+3 dalam isu pendidikan menjelang 2017 dengan meneliti pelan kerja terkini di bawah Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN+3 2010-2017. ASED Ke-9 dihadiri 200 perwakilan termasuk 10 Menteri Pendidikan ASEAN, selain  negara rakan strategik ASEAN iaitu Jepun, Korea Selatan, China, Amerika Syarikat, India, New Zealand, Russia dan Australia.

Sumber: Berita Harian