Laos, Filipina yakin komitmen Malaysia teraju draf pendidikan ASEAN

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos, Prof Madya Dr Sisamone Sithirajvongsa. – Foto Yazit Razali

PETALING JAYA : Laos yakin Malaysia mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi pendidikan ASEAN bagi memastikan pelaksanaan draf pendidikan ASEAN 2016-2020 berjaya. Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos, Prof Madya Dr Sisamone Sithirajvongsa, berkata dalam usaha merealisasikan matlamat itu, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan (ASED) kali ke-9 dengan jayanya. Ini kerana, katanya, kerjasama itu tidak lain dapat mengharmonikan sistem pendidikan serantau secara efektif. “Setakat ini, kolaborasi antara negara anggota menunjukkan perkembangan yang baik. Langkah ini bagus bagi melonjak mutu pendidikan di rantau ini. “Ia merangkumi pemantapan sistem pendidikan tinggi dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET). Dalam masa sama, sepanjang kami mengambil alih sebagai pengerusi Pendidikan ASEAN pada 2014, banyak pencapaian yang diperolehi antaranya membabitkan rujukan kelayakan, pindahan kredit, pengiktirafan sijil dan ijazah,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Pegawai Kanan Tertinggi kali ke-11 sempena Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-9, hari ini. Turut memberi sokongan adalah Filipina yang menunjukkan komitmen terhadap sebarang inisiatif yang dikemukakan negara anggota jika cadangan itu mampu memanfaatkan komuniti serantau. Ketua Delegasi Jabatan Pendidikan Filipina, Jesus L.R Mateo, berkata ia penting kerana ASEAN sedang menuju ke hadapan kerana negara anggota perlu menjadikan gagasan ini lebih kompetitif di pasaran global.

Sumber: Berita Harian