Dua guru terima sumbangan istimewa Permaisuri Johor

 24 Mei 2016 12:05 AM

 RAJA ZARITH SOFIAH SULTAN IDRIS SHAH berkenan menulis kaligrafi RAJA ZARITH SOFIAH SULTAN IDRIS SHAH berkenan menulis kaligrafi Cina sambil diperhatikan oleh Mohd. Hafiz Ahmad (kiri) di SMK Agama Segamat, Johor, kelmarin. UTUSAN/MOHAMAD SAARI

SEGAMAT 23 Mei – Dua guru yang menghidap barah payu dara tahap empat dan angin ahmar bersyukur apabila penderitaan mereka mendapat perhatian Yayasan Majlis Daerah Labis (YMDL) dan Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) yang menghulurkan sumbangan RM3,000.

Lebih manis, sumbangan itu disampaikan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, di sini semalam.

Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra dengan rakyat serta melawat gerai pameran sambil diiringi oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Hafiz Ahmad sebelum menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua guru tersebut serta 90 penerima lain yang terdiri daripada pelajar miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Guru tersebut, Norsalwa Abdul Wahab, 44, berterima kasih kepada YMDS kerana memberikan sumbangan itu sambil mengakui amat bertuah kerana disampaikan oleh Permaisuri Johor.

“Saya tidak mengetahui sumbangan tersebut akan disampaikan oleh Permaisuri Johor sehinggalah sampai ke dewan ini dan berasa amat teruja, namun agak gementar untuk bertemu baginda.

“Saya berterima kasih kepada YMDS yang menghulurkan bantuan ini bagi meringankan beban saya, sekali gus sebagai hadiah Hari Guru,” kata cikgu Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Temu Jodoh, dekat sini dan dikesan menghidap penyakit ber­kenaan sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Mahathir Aini, 58, Guru Penolong Kanan di Sekolah Tinggi Segamat yang menerima sumbangan serupa turut mengakui teruja bertemu dengan Permaisuri Johor.

“Sebelum ini saya hanya melihat wajah baginda dalam akhbar dan televisyen, namun hari ini begitu bertuah kerana berpe­luang bertemu dengan Permaisuri Johor yang berjiwa rak­yat,” katanya yang diserang angin ahmar enam bulan lalu.

Sumber :  Utusan Online

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/dua-guru-terima-sumbangan-istimewa-permaisuri-johor-1.333747#sthash.SGCa81wF.dpuf

%d bloggers like this: