100 guru ikuti program 
pakar atasi buta huruf

 24 Mei 2016 12:05 AM
 PASIR PUTEH 23 Mei – Lebih 100 guru dari 39 sekolah rendah daerah ini diberi pendedahan khusus oleh pakar pendidikan pemulihan dalam usaha memastikan pelan tindakan penguasaan murid dalam kemahiran menulis dan membaca tercapai dengan sasaran buta huruf sifar.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Harun Yusof berkata, program anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh (PPD), Majlis Guru Besar dan Majlis Pemuafakatan Penolong-Penolong Kanan Pasir Puteh itu bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru tersebut terhadap satu kaedah inovasi pedagogi pemulihan menggunakan peta inovasi di sekolah.

Menurutnya, guru diberi peluang mempelajari kaedah berkesan menerusi bengkel amalan pedagogi pemulihan daripada pakar yang juga jurulatih utama pemulihan khas peringkat kebangsaan, Roslee Abdul@Mohd di Pusat Latihan Daerah, PPD, untuk dipraktikkan di peringkat sekolah.

“Peserta program ini adalah guru pemulihan dan guru pemulihan khas literasi. Mereka diberikan pendedahan khusus dalam program ini supaya matlamat pendidikan kita tercapai.

“Ilmu yang diperoleh pada hari ini pula akan dipanjangkan menerusi perbengkelan di semua sekolah agar semua guru yang mengajar memiliki kemahiran memulihkan pelajar lemah menguasai kemahiran dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutup Bengkel Amalam Pedagogi Terbaik Pemulihan dan Inovasi i-PKs di sini baru-baru ini.

 

Sumber:  Utusan Online

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/100-guru-ikuti-program-8232-pakar-atasi-buta-huruf-1.333766#sthash.Kb1Af1Mi.dpuf

%d bloggers like this: