Universiti Awam perlu jana pendapatan sendiri

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusof menunjukkan buku Discover UUM sambil diperhatikan oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (dua dari kanan) di majlis pelancaran Discover Universiti Utara Malaysia (UUM). – Foto Amran Hamid

SINTOK: Kementerian Pendidikan Tinggi mahu universiti awam menjana pendapatan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihak universiti boleh memupuk sifat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, seterusnya mempromosi institusi ke peringkat serantau dan antarabangsa. Katanya, platform itu bukan sahaja memberi pulangan kepada universiti tetapi juga menyalurkan pendidikan secara tidak formal kepada mahasiswa untuk menempuh realiti bidang keusahawanan. “Sebagai contoh, Universiti Utara Malaysia (UUM) menggunakan kekayaan alam flora fauna dan landskap unik mereka untuk menarik pengunjung ke kampus. “Mahasiswa diberi kepercayaan bekerjasama dengan syarikat korporat bagi menjana pendapatan menerusi produk berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Discover UUM 2016 di sini, sebentar tadi. Idris berkata, seramai 30,000 pengunjung bertandang ke UUM, sekali gus menyerlahkan dimensi keusahawanan dan pengurusannya. Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata UUM bakal menjana pendapatan RM5 juta dengan sasaran satu juta pengunjung ke kampus Sintok menerusi program Discover UUM 2016 yang berkonsepkan Edutourism. Katanya, lebih 15 pakej pelancongan ditawarkan sejajar kedudukan geografi UUM yang bersempadan dengan negara jiran serta dipenuh flora dan fauna.

Sumber: Berita Harian