Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN di KL bermula

KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamed mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri dan Pegawai Kanan Pendidikan ASEAN (ASED) ke-9 di Sunway Resort and Spa Petaling Jaya. – Foto Yazit Razali

PETALING JAYA: Seramai 10 Menteri Pendidikan ASEAN akan menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Pendidikan dan Pegawai Tertinggi Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-9 di sini, mulai hari ini hingga Khamis ini. Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, berkata turut diadakan sempena mesyuarat itu adalah Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN+3 ke-3 membabitkan Menteri Pendidikan dari Jepun, Korea Selatan dan China. Ini disusuli, Sidang Kemuncak Menteri Pendidikan Asia Timur Ke-3 merangkumi lima negara iaitu Amerika Syarikat, India, New Zealand, Russia dan Australia, menjadikan keseluruhan sebanyak 18 negara menghadiri persidangan berkenaan. Malaysia adalah Pengerusi Pendidikan ASEAN bagi tempoh 2016-2017 dan kali terakhir menjadi tuan rumah mesyuarat serantau itu pada tahun 2008.

Sumber: Berita Harian

 

Advertisements

Universiti Awam perlu jana pendapatan sendiri

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusof menunjukkan buku Discover UUM sambil diperhatikan oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (dua dari kanan) di majlis pelancaran Discover Universiti Utara Malaysia (UUM). – Foto Amran Hamid

SINTOK: Kementerian Pendidikan Tinggi mahu universiti awam menjana pendapatan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihak universiti boleh memupuk sifat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, seterusnya mempromosi institusi ke peringkat serantau dan antarabangsa. Katanya, platform itu bukan sahaja memberi pulangan kepada universiti tetapi juga menyalurkan pendidikan secara tidak formal kepada mahasiswa untuk menempuh realiti bidang keusahawanan. “Sebagai contoh, Universiti Utara Malaysia (UUM) menggunakan kekayaan alam flora fauna dan landskap unik mereka untuk menarik pengunjung ke kampus. “Mahasiswa diberi kepercayaan bekerjasama dengan syarikat korporat bagi menjana pendapatan menerusi produk berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Discover UUM 2016 di sini, sebentar tadi. Idris berkata, seramai 30,000 pengunjung bertandang ke UUM, sekali gus menyerlahkan dimensi keusahawanan dan pengurusannya. Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata UUM bakal menjana pendapatan RM5 juta dengan sasaran satu juta pengunjung ke kampus Sintok menerusi program Discover UUM 2016 yang berkonsepkan Edutourism. Katanya, lebih 15 pakej pelancongan ditawarkan sejajar kedudukan geografi UUM yang bersempadan dengan negara jiran serta dipenuh flora dan fauna.

Sumber: Berita Harian