Sekolah baharu di kawasan kepadatan pelajar tinggi

HULU LANGAT: Kementerian Pendidikan akan mencari jalan membina sekolah baharu di kawasan yang mempunyai kepadatan pelajar tinggi bagi memastikan mereka dapat belajar dengan selesa, sekali gus meningkatkan kualiti pelajaran. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah pelajar paling ideal bagi sesebuah sekolah menengah adalah antara 1,200 hingga 1,300 orang. “Saya ada menerima laporan daripada Pejabat Pendidikan Daerah di Selangor, terdapat sekolah yang mempunyai kepadatan terlalu tinggi hingga mencecah 4,000 pelajar. “Kita akan semak laporan ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Pembinaan sekolah baharu ini akan dibina di kawasan sekolah menengah yang mempunyai lebih 2,000 pelajar,” katanya pada Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Hulu Langat, di sini, hari ini. Mahdzir berkata, masalah itu berpunca daripada proses urbanisasi apabila berlaku pertumbuhan pesat penempatan baharu.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Graduan bidang minyak, gas UCSI mudah dapat kerja

 

MARANG: Walaupun pembabitan pelajar tempatan dalam pengajian bidang minyak dan gas kurang menggalakkan, 99 peratus graduan daripada Universiti UCSI mudah mendapat tempat dalam industri berkenaan selepas tamat pengajian. Koordinator Program Perniagaan dan Sains Inovasi Pengurusan Minyak & Gas UCSI, Safarina Abdul Ghani, berkata kebanyakan pelajar tempatan tidak berminat mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan kerana kos tinggi. “UCSI sebenarnya menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar tempatan yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Jadi tiada masalah kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di sini,” katanya selepas Seminar Minyak dan Gas anjuran Universiti UCSI di sini, hari ini. Beliau berkata, kebanyakan yang menuntut di UCSI adalah pelajar antarabangsa, manakala sebahagian kecil adalah pelajar tempatan. “Pelajar luar melihat bidang ini mempunyai potensi besar dalam industri dan memilih melanjutkan pelajaran di sini. Jadi, kita harap pelajar tempatan mengambil peluang ini sebaiknya untuk berkecimpung dalam industri minyak dan gas kerana ia industri berpotensi tinggi. “Sebenarnya, program ini adalah program pertama di Malaysia, yang mana penuntut mempelajari ilmu dalam bidang minyak dan gas secara menyeluruh dari segi pentadbiran, perniagaan serta perspektif pengurusan. “Program tiga tahun ini juga membabitkan pengajian di universiti dan dua bulan latihan industri bagi setiap tahun pengajian,” katanya. Safarina berkata, kurikulum itu dibentuk bagi menyediakan pelajar dengan asas perniagaan, perakaunan, sumber manusia dan ekonomi. “Ia mendedahkan pelajar kepada kedua-dua teori dan amalan dinamik pada tahun pertama program, manakala tahun kedua serta ketiga, kursus mengenai ciri program yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan perniagaan dan industri minyak serta gas,” katanya.

Sumber: Berita Harian