40 sekolah daif guna kaedah IBS di Sabah

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof (kiri) di Majlis Sepetang Menteri Pendidikan Bersama Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan di Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Sebanyak 40 sekolah yang dikenal pasti berdepan masalah bangunan usang dan daif di Sabah akan mendapat bangunan baharu yang dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), tahun ini. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata projek itu akan dilaksanakan mulai bukan depan selepas Jabatan Pendidikan Sabah menyenaraikan nama sekolah yang memerlukan perhatian segera. Beliau berkata, kontraktor mampu melaksanakan projek itu dalam tempoh lapan minggu berikutan pembinaan bangunan sekolah menggunakan kaedah IBS lebih mudah dan cepat untuk disiapkan. “Di Sarawak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini mengumumkan pembinaan 40 pembinaan bangunan sekolah daif menggunakan kaedah IBS di Sarawak dan ketika ini sebanyak lapan bangunan sekolah sedang dibina di negeri itu. “Kaedah itu juga akan digunakan di Sabah dan sebagai permulaan sebanyak 40 sekolah akan dipilih di seluruh Sabah untuk melaksanakan projek itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sepetang Menteri Pendidikan Bersama Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof. Mahdzir berkata, pemilihan sekolah untuk projek pembinaan bangunan menggunakan kaedah IBS akan ditentukan berdasarkan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai tahap keselamatan bangunan di sekolah terbabit. “Contohnya, kalau sekolah itu ada dua bangunan bilik darjah dan JKR mengesahkan sebuah bangunannya tidak selamat digunakan, maka bangunan itu saja yang akan dibina baharu menggunakan kaedah IBS. “Bangunan yang akan dibina itu merangkumi pembinaan lima atau enam bilik darjah termasuk kemudahan air dan elektrik. Pemilihan sekolah juga tidak tertumpu di sesuatu kawasan saja, ia merangkumi semua tempat di Sabah,” katanya. Terdahulu, beliau berkata majlis yang diadakan sempena sambutan Hari Guru yang diadakan di negeri ini adalah program sulung dianjurkan kementerian untuk mendapatkan membincangkan pelbagai isu pendidikan semasa. Katanya, tumpuan diberikan kepada perbincangan mengenai aspek pembangunan fizikal pendidikan khususnya yang membabitkan Sabah dan Sarawak.

Sumber: Berita Harian