MENEROKA BIDANG PERGURUAN SWASTA

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ILMU, Amil Azham Hamzah bersama
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ILMU, Amil Azham Hamzah bersama Naib Canselor Unitar, Prof. Dr. Sakina Sofia Baharom (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Schools, Nina Adlan Disney semasa taklimat Strategic Teacher Education Programme (STEP) di Kelana Jaya, baru-baru ini. utusan/Hafiz Johari 

LEBIH 25 tahun lalu, Nina Ad­lan Disney, 40-an, ber­fi­kir panjang mengenai ma­sa depan kerjayanya la­lu tanpa berlengah dia mem­buat satu keputusan yang ternyata mem­bawa satu perubahan besar di dalam hidupnya. Ketika itu dia mem­punyai kerjaya yang kukuh sebagai seorang peguam, na­mun ada satu ruang kosong yang dia rasakan perlu diisi di dalam dirinya.

Sebenarnya, dia mendapati ada sesuatu yang kurang di dalam kerjayanya walaupun dia mendapat gaji yang lumayan. Jiwa dan minatnya tiada dalam bidang guaman. Lantas, dia nekad mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi seorang peguam dan kerjaya­nya sebagai pendidik pun bermula di sebuah universiti.

Setelah menceburi dunia pendidikan baru Nina memperoleh kepuasan di dalam dirinya dan kini Nina masih lagi terlibat dalam dunia pendidikan iaitu menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasific Schools (APS).

Kisah Nina mungkin hanya secebis cerita daripada rakyat negara ini yang terperangkap di dalam pilihan kerjaya yang salah dan akhirnya ramai di antara kita yang sekadar berkhidmat tanpa jiwa kerana motivasi yang ada di dalam diri hanya untuk mendapatkan wang semata-mata.

Natijahnya, pekerja yang tiada jiwa ini menyebabkan kerugian kepada syarikat akibat tahap produktiviti yang menurun lalu lama-kelamaan mereka menjadi seorang pekerja persis kata pepatah, hidup segan mati tak mahu. Siapa tahu, sebenarnya ada dalam kalangan kita yang sebenarnya meminati dunia pendidikan namun kerana tiada peluang maka cita-cita sebagai seorang pendidik terpaksa dipendamkan.

Bagi yang meminati bidang perguruan, masih belum terlambat untuk meneruskan kerjaya tersebut dengan adanya Program Strategik Pendidikan Guru (STEP) yang diper­kenalkan oleh Kumpulan Pendidikan ILMU (ILMU). Program tersebut adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini diterjemahkan melalui kerjasama antara ILMU, Universiti Antarabangsa Tun Abdul Razak (Unitar) dan Asia Pasific Schools (APS) serta Tenby Schools (Tenby).

Bagi Naib Canselor UNITAR, Prof. Madya Dr. Sakina Sofia Baharom, tidak dinafikan ramai yang meminati profesion perguruan namun terdapat kekangan apabila permohonan mereka untuk menjadi guru di sektor awam tidak berjaya.

Justeru katanya, industri perguruan swasta kini adalah satu bidang baharu yang berpotensi untuk dikembangkan di negara ini berdasarkan kepada statistik terbaru yang menunjukkan terdapat 106 buah sekolah antarabangsa di negara ini dengan kemasukan kira-kira 45,050 pelajar.

“Sebelum tahun 2012 hanya terdapat 80 buah sekolah antarabangsa namun selepas kerajaan membenarkan pelajar dari negara ini mema­suki sekolah antarabangsa, jumlahnya meningkat sekali ganda. Sekarang ada lebih 500 sekolah swasta jadi ini bermakna guru-guru yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri perguruan swasta juga meningkat.

“UNITAR telah lama melahirkan para guru namun banyak di antara mereka yang mengajar di sekolah kebangsaan. Kami melihat industri perguruan swasta sekarang ada potensi untuk diisi lalu program STEP ini diwujudkan untuk mengisi keperluan pihak swasta ini,” katanya ketika ditemui di Kampus Unitar di Kelana Jaya Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Sakina Sofia menjelaskan, STEP terbuka kepada empat golongan iaitu yang pertama terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan Ijazah, golongan profesional yang berminat untuk menjadi guru serta guru berpenga­laman yang ingin meningkatkan tahap kemahiran.

“Antara keistimewaan kepada mereka yang terpilih untuk menyertai program STEP ini ialah peluang kerjaya sebagai guru di sektor swasta terjamin.

“Mereka akan ditempatkan sebagai guru di APS dan Tenby. Selain belajar di Unitar mereka juga menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut kerana kami percaya untuk menjadi seorang guru bertaraf antarabangsa, teori dan praktikal perlu berjalan seiring,”jelasnya.

Tambahnya, dia percaya program STEP itu mampu melahirkan guru-guru bertaraf global yang kemudiannya boleh mengembangkan bakat mereka di luar negara.

Bagi Nina pula, tugas guru pada masa kini amat berbeza dengan guru pada zaman dahulu memandangkan cabaran mengajar telah berubah disebabkan pengaruh teknologi serta tahap pemikiran murid-murid yang semakin tinggi.

“Guru pada masa kini dia menjadi pemudah cara dan pemandu arah kepada murid kerana dengan adanya Internet proses pembelajaran berubah. Murid sekarang berani persoalkan apa yang guru ajar di depan salah kerana mereka merujuk pada Google.

“Jadi sebagai seorang guru yang baik seseorang itu perlu sentiasa bersedia, zaman ini tidak ada salah atau betul sesuatu jawapan cuma lebih kepada bagaimana kita menerangkan dan memberi kefahaman kepada murid-murid,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai STEP, Nina memberitahu, projek perintis STEP itu bermula Oktober 2015 dengan 24 orang guru dari APS telah terpilih mengikuti kursus profesional dan kemahiran tersebut di Unitar.

“Sebanyak 17 orang guru mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan mereka perlu menghabiskan pengajian dalam tempoh setahun tiga bulan di sam­ping mengajar di APS manakala tujuh orang guru lagi sedang mengikuti program Sarjana Pendi­dikan (Kepimpinan dan Pengurusan Dalam Pendidikan).

“Sebelum ini guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Antarabangsa diambil dari luar negara jadi menjadi impian kami untuk melatih bakat-bakat baharu dalam bidang perguruan dan negara kita pula menjadi negara pengeksport guru-guru berkemahiran untuk negara luar seperti Singapura dan Vietnam selepas ini,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri bicara, Nina juga sempat memberi panduan berguna kepada golongan profesional yang masih mencari minat dan kerjaya yang sesuai di dalam diri mereka.

“Jika anda bangun setiap hari untuk ke tempat kerja tanpa sema­ngat, itu bermakna anda perlu mencari kerjaya yang baharu. Selami di dalam jiwa apa minat anda sebenarnya, saya berjaya lakukannya 25 tahun yang lalu dan setiap pagi saya bangun dengan hati yang tenang serta gembira kerana memperoleh kerjaya yang sesuai dengan minat saya iaitu perguruan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: