Ahli Parlimen Kangar taja Tutor untuk 12 sekolah

SHAHARUDDIN ISMAIL (belakang, tengah) bergambar bersama sebahagian SHAHARUDDIN ISMAIL (belakang, tengah) bergambar bersama sebahagian guru dan murid-murid sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Tutor di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis, Kangar, Perlis, semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI 

KANGAR 12 Mei – Prihatin untuk meningkatkan pencapaian pelajar khususnya di luar bandar, Pusat Khidmat Parlimen Kangar menaja langganan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor untuk 12 buah sekolah rendah dan enam buah sekolah menengah di kawasan itu bernilai RM36,370.

Tajaan itu melibatkan seramai 824 murid sekolah rendah yang akan menduduki Ujian Pencapai­an Sekolah Rendah (UPSR) 2016 diikuti 1,018 orang calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 964 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Secara keseluruhan, tajaan itu melibatkan 60,616 naskhah Tutor.

Ahli Parlimen Kangar, Shaharuddin Ismail berkata, kesemua sekolah terlibat dipilih dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu yang bertujuan meningkatkan pencapai­an dan prestasi pelajar.

“Jika sebelum ini kita melanggan (Tutor) untuk beberapa sekolah sahaja serta tidak konsisten, tetapi kini kita ambil (langgan) secara tetap sehingga tamat musim peperiksaan tahun ini.

“Tutor merupakan akhbar pendidikan yang amat bermanfaat ke­rana dirangka khusus untuk pelajar menghadapi peperiksaan penting apatah lagi untuk sekolah-sekolah luar bandar yang prestasi mereka di negeri ini agak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan tajaan tersebut kepada wakil-wakil sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Seberang Ramai, Zubir Ghazali dan Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Utara Utusan Melayu (M) Bhd., Ajani Basri.

Dalam pada itu Shaharuddin memberitahu, pihaknya akan me­nganjurkan kem motivasi dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk calon PT3 dan SPM selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kita berharap kem ini yang melibatkan calon peperiksaan dari Parlimen Kangar dapat turut memasukkan elemen kerohanian di samping teknik menjawab soalan peperiksaan,” ujar beliau.

Sumber : Utusan Online