Sentuhan ajaib guru bentuk masyarakat

Tarikh 16 Mei bakal tiba lagi. Sudah tentu warga guru seluruh negara amat gembira dan teruja dengan Hari Guru yang melonjak murni kerjaya keguruan mendidik anak bangsa. Martabat warga guru perlu dipertingkatkan khususnya oleh anak didik tercinta dan komuniti setempat termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Menyedari saat bermakna hampir tiba, Kementerian Pendidikan sekali lagi memilih dan menetapkan tema sambutan kali ini, iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Saya sering melontarkan idea kepada lebih 420,000 guru di negara ini bahawa mereka adalah golongan istimewa yang dianggap pakar terbaik menyelamatkan kepupusan generasi kita. Teringat jasa kepada Cikgu Bing Selamat (kini Datuk Bing Selamat) yang mengajar pelajaran Bahasa Melayu ketika saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sinaran Budi di Rawang, Selangor beberapa tahun lalu. Sentuhan ajaib beliau menjadikan saya murid berjaya yang mampu menjawat jawatan Timbalan Menteri ketika ini. Saya tidak akan lupa pengorbanan cikgu yang cukup istimewa ini khususnya memahirkan bertutur dan menulis bahasa Melayu. Saya sentiasa mendoakan Tuhan memberi kesihatan terbaik kepada beliau sepanjang masa dalam tempoh persaraan wajib ini. Tidak kira di bandar dan desa, misi mereka tetap sama. Bersama jayakan sambutan Mereka mempunyai minat dan bakat terbuka memimpin murid melahirkan rasa hormat dan sayangkan rakan pelbagai bangsa di sekolah. Sambutan Hari Guru di Universiti Malaysia Sabah pada 16 Mei tahun ini perlu disemarakkan lagi ke lebih 10,000 sekolah dalam negara ini. Murid dan masyarakat setempat perlu bersama berganding tenaga menjayakan sambutan keramat bermakna kepada semua guru kita. Zahirkan ucapan ‘Selamat Hari Guru’ dan hadiahkan mereka sesuatu yang cukup bermakna walaupun mereka tidak meminta-minta sesuatu daripada kita. Jika kita menyentuh dasar kementerian menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dapat dilihat secara jelas transformasi pendidikan ini sedang rancak dibangunkan golongan guru bertauliah kita. Suatu kemajuan pendidikan menuju Abad 21 semakin jelas mewarnai senario yang diharapkan itu. Peranan guru dapat dilihat jelas berusaha menghasilkan modal insan yang memiliki daya kepemimpinan tinggi, adil, berdikari, mampu hidup sempurna dalam sebuah masyarakat demokratik dan mempunyai nilai peradaban tinggi. Guru kita sudah bersedia dan diyakini mampu mentransformasi gelombang 2 PPPM (2016-2020) yang jelas menggariskan perubahan kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan penyemakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kementerian sentiasa peka menjalankan amanah melatih guru mempunyai kemahiran tinggi melaksanakan dasar ini dalam bilik darjah dari semasa ke semasa. Pendidikan abad ke-21 juga menuntut warga guru memberi penekanan kepada pembangunan murid secara holistik, pembangunan sahsiah dan jati diri secara kukuh sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru mampu dan bersedia dengan sentuhan era baharu menjadikan murid berminda kelas pertama, patriotik, mempraktikkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang kukuh dan mampu berkomunikasi secara berkesan. Perubahan sistem ini jelas mencorak kepada era pendidikan gobal tanpa sempadan dan moden terkini. Penekanan kementerian ini kepada dua elemen terbaru, iaitu memperkukuh inisiatif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dikenali STEM dan juga peningkatan penyampaian pengetahuan, memperkasa pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) sedang giat diatur dan dilaksanakan di sekolah. Kerjaya guru kini diangkat martabat paling tinggi dan semakin diminati. Buktinya lebih 80,000 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan tahun ini. Namun, hanya kira-kira 3,000 tempat disediakan. Guru sebagai ‘kawan karib’ Melihat kepada perkembangan semakin baik itu, saya menyeru semua pihak menghargai peranan guru secara lebih mendalam dan membuka minda. Jadikan guru sebagai ‘kawan karib’ kita dalam semua keadaan. Dasar kementerian juga sentiasa membuka pintu kepada ibu bapa menyuarakan pandangan positif. Usah gunakan ruang diberikan ke medan sumbang, termasuk menyalahkan pengurusan sekolah. Lebih malang lagi kini wujud trend apabila ‘ibu bapa saman guru’ di mahkamah. Sebagai anak murid pula, anda sepatutnya isi ruang masa ini dengan belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya. Hormatilah guru. Jenuh kita baca pengkisahan buruk mengenai kejadian disiplin tidak sihat di sekolah seperti budaya buli, ponteng sekolah, pengaruh rokok dan dadah serta jenayah berat lain. Insiden buruk hingga bawa kematian rakan murid di sekolah tidak seharusnya berlaku di sekolah. Fikirkan secara waras tujuan dan hasrat anda dihantar ke sekolah. Berikan kepercayaan tinggi kepada unit disiplin dan kaunselor sekolah. Selesaikan krisis secara berhemah. Nasihat saya adalah sebagai insan terpilih guru perlu diberikan ruang berbincang dan bertukar pendapat secara ikhlas hati. Mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Berikan maaf terbuka kepada mereka agar kesilapan dapat dibetulkan. Usaha memperkasa agenda pendidikan abad ke-21 ke mercu kejayaan membanggakan perlu disahut bersama. Selamat Hari Guru! Oleh Datuk P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan 1 merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Cenderahati BH di Karnival Sekolah Sultan Alam Shah

PUTRAJAYA: Pengunjung Karnival Usahawan Muda dan Hari Koperasi Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini, Sabtu ini berpeluang menerima cenderahati daripada BH. Cenderahati itu ditawarkan bagi pembelian akhbar digital BH. Pada karnival itu, BH turut menjual buku rujukan peperiksaan. Karnival itu dianjurkan SAS bagi menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar. Setiausaha program itu, Eliza Khamis, berkata program tahunan itu diuruskan sendiri oleh pelajar sekolah itu dengan bimbingan guru. Beliau berkata, pelbagai kelab dan persatuan pelajar akan dilatih cara merancang perniagaan, menguruskan kewangan, pembelian barang dan pengiraan keuntungan hasil perniagaan mereka pada program berkenaan. “Objektif utama program adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kemahiran dalam perniagaan dan pengurusan acara. “Walaupun mereka (pelajar) belum memasuki ke peringkat universiti atau kolej, yang penting mereka sudah tahu bagaimana untuk memulakan perniagaan pada masa depan,” katanya ketika dihubungi BH. Eliza berkata, pihaknya menyasarkan 2,000 penduduk di sekitar Putrajaya akan hadir untuk memeriahkan program berkenaan. Pelbagai aktiviti bakal dianjurkan antaranya permainan, jualan pelbagai barangan dan makanan.

INFO Karnival Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya 14 Mei 2016 (Sabtu) Waktu dibuka 8 pagi hingga 5 petang Acara Karnival Usahawan Muda Tentatif Pentas Utama 9 pagi – 12 tengah hari – Battle of the bands 12 tengah hari – 1 petang – cabutan bertuah/cabaran ‘pickupline’ 1 petang – 1.30 petang – Insomniacks 2.45 petang – 3 petang – cabutan bertuah utama Antara aktiviti yang diadakan Futsal Jualan gerai Persembahan band Pertandingan debat, bahas dan catur Pertandingan gerai paling kemas dan bersih Pertandingan mewarna

Sumber: Berita Harian

Tablet dalam PdP lonjak prestasi pendidikan

HASHIM ADNAN

KUALA LUMPUR 6 Mei – Penggunaan komputer tablet yang dilengkapi perisian akhbar pendidikan Tutor dan e-paper Utusan Malaysia dalam kalangan guru merupakan langkah efektif membangunkan sektor pendidikan negara ke tahap lebih profesional.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, guru berpeluang membangunkan sektor itu seiring perkembangan komunikasi dan teknologi maklumat melalui penggunaan internet dan gajet moden.

Katanya, elemen tambah baik yang diperoleh guru akan menjadikan pelajar mendapat faedah sama kerana mereka berpeluang mengakses pelbagai bahan daripada internet seterusnya memberi impak positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“NUTP berharap usaha ini diperluaskan ke negeri-negeri lain de­ngan memberi keutamaan kawasan pedalaman seperti Sabah, Kelantan, Pahang dan Johor yang rata-rata penduduknya sukar mendapatkan kemudahan tersebut.

“Guru juga perlu sentiasa mempunyai daya saing untuk terus berfikir secara kritis dan memastikan tahap profesionalisme yang mereka miliki mampu seiring dan melebihi kebolehan pelajar masa kini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengumuman pemberian tablet yang dimulakan di Sarawak, semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan revolusi dalam dunia pendidikan yang diharap memberi manfaat panjang.

Perdana Menteri juga yakin pengumuman itu mampu melonjakkan proses PdP ke tahap yang lebih tinggi selain membolehkan konsep pembelajaran berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, usaha membekalkan kemudahan kepada guru merupakan perkembangan sihat yang perlu diteruskan.

Jelasnya, nilai tambah meningkatkan pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat semestinya diaplikasikan dalam pendidikan moden melalui kaedah terkini dan terbaharu seperti e-paper.

Tokoh Guru Kedah 2014, Datuk Abdul Halim Salleh pula mencadang­kan, barisan pendidik perlu sentiasa mempunyai kesedaran untuk memberi imbangan faedah kepada kerajaan dan tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk kepen­tingan peribadi.

“Guru perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada anak murid mereka, menggandakan kerajinan dalam setiap urusan pekerjaan seterusnya memastikan tahap profesion yang mereka ceburi terus cemerlang,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Tutor Guru: Lembaran kerja digital

GURU boleh menyiapkan lembaran kerja dengan mudah melalui aplikasi Tutor Guru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Dengan mengklik default Aps Tutor Guru pada paparan tablet yang dibekalkan sekali dengan aplikasi berkenaan, maka guru akan dibawa ke gerbang bank soalan Tutor sebagai langkah pertama pembangunan lembaran kerja.

Seterusnya, klik pada teks sasaran (hyperlink) iaitu Cipta Lemba­ran Kerja, dan template lembaran kerja akan tersedia.

Kini tiba masanya untuk mengisi template lembaran kerja berkenaan.

Klik pada tahap peperiksaan, seterusnya mata pelajaran, topik yang spesifik atau bahagian kertas 1, 2 atau penulisan. Kini guru sudah boleh mengakses soalan Tutor.

Soalan dengan ilustrasi berwarna, format Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) atau beraras, boleh dilihat pada paparan tablet, skroll halaman demi halaman pilih berapa jumlah soalan yang dikendali, klik pada kotak dan tekan butang hantar.

Bila klik, soalan akan akan dipindahkan ke lembaran kerja.

Selepas soalan, pada template guru bolehlah menulis objektif pe­ngajaran pada hari berkenaan.

Jangan lupa untuk menulis arahan untuk memandu pelajar.

Seterusnya guru ingin mema­sukkan video atau gambar atau animasi daripada sumber internet.

Guru klik pada ikon video.

Secara automatik, paparan YouTube akan muncul pada paparan tablet.

Taip pada Carian, misalnya persaingan haiwan, Khan Academy, atau sebagainya pilih, dan klik pada video berkenaan.

Nah, kini lembaran kerja elektro­nik anda sudah dilengkapi soalan Tutor, objektif pengajaran dan video!

Senang bukan?

Belum habis di situ, jawapan kepada soalan yang dipilih daripada Tutor tadi akan dipaparkan di bahagian bawah lembaran kerja.

Lembaran kerja ini seterusnya boleh dicetak, atau dipaparkan pada skrin, dengan menambah gajet ter­tentu atas inisiatif guru sendiri.

Sila rujuk kepada guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi masing-masing bagi tujuan paparan di skrin dan cetak.

Dengan Tutor Guru, elemen pedagogi, psikologi dan teknologi kini berada dalam satu medium lembaran kerja digital, yang boleh diintegrasikan dengan bahan dari internet.

Konsep Flipped Classroom dan keperluan pembelajaran abad ke-21 iaitu komunikasi, kolaboratif, kreativiti dan kritis terhidang di tablet dan dimanipulasi di hujung jari.

Tutor Guru ialah teacher’s tool yang ideal bagi guru yang mahu berubah daripada terus terperangkap dalam dunia dinasour kepada dunia digital natives.

Sebagai kesimpulan, Tutor Guru sangat memudahkan guru menyediakan lembaran kerja yang mencakupi hal berikut:

(i) Maklumat pengajaran – mem­­bolehkan guru me­­ma­sukkan objektif pem­belajaran

(ii) Bank soalan – soalan-soalan yang dipilih oleh guru untuk pengajaran.

(ii) Sumber rangsangan – guru bo­leh memasukkan bahan rang­sangan tambahan seperti arahan pengajaran, bahan ru­jukan teks, bahan grafik (seperti gambar foto) menyisip video dari YouTube, dan me­layari Google untuk mencari maklumat terkini sebagai bahan sokongan.

(iv)Jawapan dan perbincangan – paparan jawapan untuk ber­interaksi dengan pelajar dalam bilik darjah.

Bahan pengajaran yang dicipta boleh pula boleh disimpan, dicetak, disunting atau dihapus.

Semoga fasiliti pendidikan ini bakal menjadi makanan dan mi­nu­man seharian guru apabila tablet berwarna putih itu sampai ke se­kolah masing-masing.

Sumber : Utusan Online

Hukuman rotan pelajar dilaksana 2017 Pengetua, guru diberi kuasa penuh

Chong Sin Woon

PUTRAJAYA 9 Mei – Pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, hu­­kuman tersebut ba­gaimanapun tidak di­benarkan dilakukan di depan khalayak ramai semasa perhimpunan, sebaliknya di dalam bilik.

Menurutnya, cadangan tersebut merupakan antara penambahbaikan peraturan disiplin pelajar yang bakal dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2017.

Katanya, antara penambahbaikan peraturan adalah kewujudan jawatankuasa disiplin di peringkat sekolah dan mewajibkan sesi kaunseling kepada pelajar bermasalah.

“Kementerian sedang melakukan kajian terhadap garis panduan sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Disiplin Pelajar 1959 yang terkandung dalam Ordinan Pendidikan 1957 sebelum draf penambahbaikan itu dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi.

“Usaha penambahbaikan ini bertujuan menjadikan peraturan disiplin di sekolah lebih komprehensif supaya pihak sekolah dapat mengawal tingkah laku pelajar dan murid dengan lebih teratur,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyua­rat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Sin Woon memberitahu, mesyuarat tersebut yang disertai oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggariskan empat pendekatan bagi mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Katanya, pihak kementerian akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melak­sanakan ujian air ken­cing dengan lebih ke­rap dan pemeriksaan mengejut di sekolah bagi mengesan pelajar yang mengambil dadah.

“Selain itu, pihak PDRM diminta merangka program di sekolah dalam memberi kesedaran kepada pelajar mengenai ancaman dan bahaya pengaruh kumpulan militan Negara Islam (IS).

“Berkaitan kes buli, kementerian terus melakukan siasatan tanpa menerima aduan terlebih dahulu selepas menerima maklumat awal berhubung kejadian itu,” katanya.

Mengenai penyebaran video kes buli di laman sosial, Sin Woon berkata, kementerian akan memberi penjelasan kepada orang ramai dengan segera sama ada kejadian itu benar berlaku atau sebaliknya.

“Kita perlu memperjelaskan kepada masyarakat berhubung penyebaran video itu kerana di media sosial merupakan rakaman lama atau terjadi di negara lain,” katanya.

Menurut Sin Woon, penurunan kadar kes ponteng dan buli di sekolah sejak dari tahun 2012 sehingga 2015 adalah hasil kerjasama para guru dan ibu bapa serta masyarakat yang bekerjasama untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah.

“Pembentukan disiplin remaja harus menjadi tanggungjawab semua pihak sekiranya kita mahu melahirkan modal insan kelas pertama dengan memfokuskan kepada pembinaan insan bersahsiah tinggi,” katanya.

Sumber : Utusan Online

MENEROKA BIDANG PERGURUAN SWASTA

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ILMU, Amil Azham Hamzah bersama
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ILMU, Amil Azham Hamzah bersama Naib Canselor Unitar, Prof. Dr. Sakina Sofia Baharom (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Schools, Nina Adlan Disney semasa taklimat Strategic Teacher Education Programme (STEP) di Kelana Jaya, baru-baru ini. utusan/Hafiz Johari 

LEBIH 25 tahun lalu, Nina Ad­lan Disney, 40-an, ber­fi­kir panjang mengenai ma­sa depan kerjayanya la­lu tanpa berlengah dia mem­buat satu keputusan yang ternyata mem­bawa satu perubahan besar di dalam hidupnya. Ketika itu dia mem­punyai kerjaya yang kukuh sebagai seorang peguam, na­mun ada satu ruang kosong yang dia rasakan perlu diisi di dalam dirinya.

Sebenarnya, dia mendapati ada sesuatu yang kurang di dalam kerjayanya walaupun dia mendapat gaji yang lumayan. Jiwa dan minatnya tiada dalam bidang guaman. Lantas, dia nekad mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi seorang peguam dan kerjaya­nya sebagai pendidik pun bermula di sebuah universiti.

Setelah menceburi dunia pendidikan baru Nina memperoleh kepuasan di dalam dirinya dan kini Nina masih lagi terlibat dalam dunia pendidikan iaitu menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasific Schools (APS).

Kisah Nina mungkin hanya secebis cerita daripada rakyat negara ini yang terperangkap di dalam pilihan kerjaya yang salah dan akhirnya ramai di antara kita yang sekadar berkhidmat tanpa jiwa kerana motivasi yang ada di dalam diri hanya untuk mendapatkan wang semata-mata.

Natijahnya, pekerja yang tiada jiwa ini menyebabkan kerugian kepada syarikat akibat tahap produktiviti yang menurun lalu lama-kelamaan mereka menjadi seorang pekerja persis kata pepatah, hidup segan mati tak mahu. Siapa tahu, sebenarnya ada dalam kalangan kita yang sebenarnya meminati dunia pendidikan namun kerana tiada peluang maka cita-cita sebagai seorang pendidik terpaksa dipendamkan.

Bagi yang meminati bidang perguruan, masih belum terlambat untuk meneruskan kerjaya tersebut dengan adanya Program Strategik Pendidikan Guru (STEP) yang diper­kenalkan oleh Kumpulan Pendidikan ILMU (ILMU). Program tersebut adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini diterjemahkan melalui kerjasama antara ILMU, Universiti Antarabangsa Tun Abdul Razak (Unitar) dan Asia Pasific Schools (APS) serta Tenby Schools (Tenby).

Bagi Naib Canselor UNITAR, Prof. Madya Dr. Sakina Sofia Baharom, tidak dinafikan ramai yang meminati profesion perguruan namun terdapat kekangan apabila permohonan mereka untuk menjadi guru di sektor awam tidak berjaya.

Justeru katanya, industri perguruan swasta kini adalah satu bidang baharu yang berpotensi untuk dikembangkan di negara ini berdasarkan kepada statistik terbaru yang menunjukkan terdapat 106 buah sekolah antarabangsa di negara ini dengan kemasukan kira-kira 45,050 pelajar.

“Sebelum tahun 2012 hanya terdapat 80 buah sekolah antarabangsa namun selepas kerajaan membenarkan pelajar dari negara ini mema­suki sekolah antarabangsa, jumlahnya meningkat sekali ganda. Sekarang ada lebih 500 sekolah swasta jadi ini bermakna guru-guru yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri perguruan swasta juga meningkat.

“UNITAR telah lama melahirkan para guru namun banyak di antara mereka yang mengajar di sekolah kebangsaan. Kami melihat industri perguruan swasta sekarang ada potensi untuk diisi lalu program STEP ini diwujudkan untuk mengisi keperluan pihak swasta ini,” katanya ketika ditemui di Kampus Unitar di Kelana Jaya Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Sakina Sofia menjelaskan, STEP terbuka kepada empat golongan iaitu yang pertama terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan Ijazah, golongan profesional yang berminat untuk menjadi guru serta guru berpenga­laman yang ingin meningkatkan tahap kemahiran.

“Antara keistimewaan kepada mereka yang terpilih untuk menyertai program STEP ini ialah peluang kerjaya sebagai guru di sektor swasta terjamin.

“Mereka akan ditempatkan sebagai guru di APS dan Tenby. Selain belajar di Unitar mereka juga menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut kerana kami percaya untuk menjadi seorang guru bertaraf antarabangsa, teori dan praktikal perlu berjalan seiring,”jelasnya.

Tambahnya, dia percaya program STEP itu mampu melahirkan guru-guru bertaraf global yang kemudiannya boleh mengembangkan bakat mereka di luar negara.

Bagi Nina pula, tugas guru pada masa kini amat berbeza dengan guru pada zaman dahulu memandangkan cabaran mengajar telah berubah disebabkan pengaruh teknologi serta tahap pemikiran murid-murid yang semakin tinggi.

“Guru pada masa kini dia menjadi pemudah cara dan pemandu arah kepada murid kerana dengan adanya Internet proses pembelajaran berubah. Murid sekarang berani persoalkan apa yang guru ajar di depan salah kerana mereka merujuk pada Google.

“Jadi sebagai seorang guru yang baik seseorang itu perlu sentiasa bersedia, zaman ini tidak ada salah atau betul sesuatu jawapan cuma lebih kepada bagaimana kita menerangkan dan memberi kefahaman kepada murid-murid,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai STEP, Nina memberitahu, projek perintis STEP itu bermula Oktober 2015 dengan 24 orang guru dari APS telah terpilih mengikuti kursus profesional dan kemahiran tersebut di Unitar.

“Sebanyak 17 orang guru mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan mereka perlu menghabiskan pengajian dalam tempoh setahun tiga bulan di sam­ping mengajar di APS manakala tujuh orang guru lagi sedang mengikuti program Sarjana Pendi­dikan (Kepimpinan dan Pengurusan Dalam Pendidikan).

“Sebelum ini guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Antarabangsa diambil dari luar negara jadi menjadi impian kami untuk melatih bakat-bakat baharu dalam bidang perguruan dan negara kita pula menjadi negara pengeksport guru-guru berkemahiran untuk negara luar seperti Singapura dan Vietnam selepas ini,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri bicara, Nina juga sempat memberi panduan berguna kepada golongan profesional yang masih mencari minat dan kerjaya yang sesuai di dalam diri mereka.

“Jika anda bangun setiap hari untuk ke tempat kerja tanpa sema­ngat, itu bermakna anda perlu mencari kerjaya yang baharu. Selami di dalam jiwa apa minat anda sebenarnya, saya berjaya lakukannya 25 tahun yang lalu dan setiap pagi saya bangun dengan hati yang tenang serta gembira kerana memperoleh kerjaya yang sesuai dengan minat saya iaitu perguruan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online

Ahli Parlimen Kangar taja Tutor untuk 12 sekolah

SHAHARUDDIN ISMAIL (belakang, tengah) bergambar bersama sebahagian SHAHARUDDIN ISMAIL (belakang, tengah) bergambar bersama sebahagian guru dan murid-murid sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Tutor di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis, Kangar, Perlis, semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI 

KANGAR 12 Mei – Prihatin untuk meningkatkan pencapaian pelajar khususnya di luar bandar, Pusat Khidmat Parlimen Kangar menaja langganan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor untuk 12 buah sekolah rendah dan enam buah sekolah menengah di kawasan itu bernilai RM36,370.

Tajaan itu melibatkan seramai 824 murid sekolah rendah yang akan menduduki Ujian Pencapai­an Sekolah Rendah (UPSR) 2016 diikuti 1,018 orang calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 964 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Secara keseluruhan, tajaan itu melibatkan 60,616 naskhah Tutor.

Ahli Parlimen Kangar, Shaharuddin Ismail berkata, kesemua sekolah terlibat dipilih dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu yang bertujuan meningkatkan pencapai­an dan prestasi pelajar.

“Jika sebelum ini kita melanggan (Tutor) untuk beberapa sekolah sahaja serta tidak konsisten, tetapi kini kita ambil (langgan) secara tetap sehingga tamat musim peperiksaan tahun ini.

“Tutor merupakan akhbar pendidikan yang amat bermanfaat ke­rana dirangka khusus untuk pelajar menghadapi peperiksaan penting apatah lagi untuk sekolah-sekolah luar bandar yang prestasi mereka di negeri ini agak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan tajaan tersebut kepada wakil-wakil sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Seberang Ramai, Zubir Ghazali dan Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Utara Utusan Melayu (M) Bhd., Ajani Basri.

Dalam pada itu Shaharuddin memberitahu, pihaknya akan me­nganjurkan kem motivasi dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk calon PT3 dan SPM selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kita berharap kem ini yang melibatkan calon peperiksaan dari Parlimen Kangar dapat turut memasukkan elemen kerohanian di samping teknik menjawab soalan peperiksaan,” ujar beliau.

Sumber : Utusan Online