Yayasan Pahang bantu 150 mahasiswa UIAM

PENGERUSI Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. – Foto Farizul Hafiz Awang

GOMBAK: Seiring peningkatan kos sara hidup di bandar, Yayasan Pahang tampil menyalurkan derma ‘one-off’ RM4,000 kepada 150 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata mahasiswa berkenaan adalah penerima berdaftar Program Student Kitchen, iaitu inisiatif yang ditubuhkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan. Sehubungan itu, katanya, peruntukan RM4,000 yang dihulur kepada setiap mahasiswa terbabit diharap berupaya meringankan beban mereka menampung kehidupan seharian, sekali gus menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang. “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Pahang selaku agensi yang diamanahkan menguruskan hal ehwal pendidikan anak Pahang. “Sumbangan ini diharap turut memberi galakan untuk mereka terus melakar kejayaan di menara gading,” katanya dalam ucaptama pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan di UIAM di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Sumber: Berita Harian