Ular gemparkan warga sekolah

SEEKOR ular hitam sepanjang kira-kira 1.37 meter di tingkap dewan sekolah berkenaan. – Foto Ihsan Bomba Johor

KULAI: Murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Senai dekat sini, berdepan detik cemas apabila menemui seekor ular hitam sepanjang kira-kira 1.37 meter di tingkap dewan sekolah berkenaan ketika bersiap-siap untuk mengadakan perhimpunan, pagi tadi. Kehadiran reptilia itu disedari oleh tiga orang murid kira-kira jam 7.30 pagi sebaik memasuki dewan untuk melakukan persiapan perhimpunan. Terkejut dengan penemuan itu, mereka memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang guru. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Putra Kulai, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 7.58 pagi sebelum sebuah jentera dengan dua anggota dikerah ke lokasi kejadian. “Pihak bomba menggunakan penjerut khas dan mengambil masa antara 10 hingga 15 minit bagi menangkap ular berkenaan. “Ular berkenaan dipercayai daripada jenis berbisa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sementara itu, tinjauan BH ke sekolah berkenaan mendapati lokasi penemuan ular berkenaan adalah di blok utama yang jauh dari semak, belukar atau kawasan yang menjadi habitat reptilia berkenaan. Difahamkan, sekolah berkenaan baru melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar sekolah minggu lalu.

Sumber: Berita Harian