Draf Dasar Pendidikan Tahfiz Negara hampir siap

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melancarkan Pusat Dagangan dan Perkhidmatan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijangka menyiapkan kerangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata JAKIM bagaimanapun tidak terbabit dalam pelaksanaannya. Katanya, keputusan sama ada untuk melaksanakan dasar berkenaan atau sebaliknya terpulang kepada kerajaan negeri. “JAKIM hanya menjadi sekretariat penyelaras kerangka DPTN manakala kerajaan negeri menerusi majlis dan jabatan agama Islam masing-masing berkuasa membuat keputusan berhubung pelaksanaannya. “Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan berkaitan agama Islam ditentukan oleh kerajaan negeri. “Menerusi pengenalan dasar ini, institusi tahfiz dapat diseragamkan secara menyeluruh, merangkumi soal pendidikan dan keselamatan di sekolah pondok,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Dagangan dan Perkhidmatan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Datuk Mohd Zubir Sheikh Saad.

Sumber: Berita Harian