MCPF sokong hukuman rotan untuk disiplin pelajar

BATU PAHAT: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong cadangan Kementerian Pendidikan untuk memberi kuasa penuh kepada pengetua melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar. Naib Pengerusi 1 MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata keputusan terbabit adalah wajar dan langkah positif dalam usaha menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar. “Pihak sekolah perlu menangani isu membabitkan disiplin pelajar dengan serta-merta. “Cadangan ini akan memperkasakan sekolah bagi membolehkan mereka lebih fokus terhadap aspek disiplin, terutama bagi menangani gejala sosial supaya tidak berlaku jenayah lebih besar kelak,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mencegah Jenayah Tanggungjawab Bersama di Dataran Parit Sulong di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan serta Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti Johor, Senior Asisten Komisioner Yahaya Ramli. Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, berkata cadangan hukuman rotan itu adalah antara penambahbaikan peraturan disiplin pelajar yang bakal dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun depan. Bagaimanapun, hukuman berkenaan tidak dibenarkan dilaksanakan secara terbuka, sebaliknya perlu dilakukan secara tertutup seperti di bilik khas.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Yayasan Pahang bantu 150 mahasiswa UIAM

PENGERUSI Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. – Foto Farizul Hafiz Awang

GOMBAK: Seiring peningkatan kos sara hidup di bandar, Yayasan Pahang tampil menyalurkan derma ‘one-off’ RM4,000 kepada 150 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata mahasiswa berkenaan adalah penerima berdaftar Program Student Kitchen, iaitu inisiatif yang ditubuhkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan. Sehubungan itu, katanya, peruntukan RM4,000 yang dihulur kepada setiap mahasiswa terbabit diharap berupaya meringankan beban mereka menampung kehidupan seharian, sekali gus menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang. “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Pahang selaku agensi yang diamanahkan menguruskan hal ehwal pendidikan anak Pahang. “Sumbangan ini diharap turut memberi galakan untuk mereka terus melakar kejayaan di menara gading,” katanya dalam ucaptama pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan di UIAM di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Sumber: Berita Harian

Ular gemparkan warga sekolah

SEEKOR ular hitam sepanjang kira-kira 1.37 meter di tingkap dewan sekolah berkenaan. – Foto Ihsan Bomba Johor

KULAI: Murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Senai dekat sini, berdepan detik cemas apabila menemui seekor ular hitam sepanjang kira-kira 1.37 meter di tingkap dewan sekolah berkenaan ketika bersiap-siap untuk mengadakan perhimpunan, pagi tadi. Kehadiran reptilia itu disedari oleh tiga orang murid kira-kira jam 7.30 pagi sebaik memasuki dewan untuk melakukan persiapan perhimpunan. Terkejut dengan penemuan itu, mereka memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang guru. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Putra Kulai, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 7.58 pagi sebelum sebuah jentera dengan dua anggota dikerah ke lokasi kejadian. “Pihak bomba menggunakan penjerut khas dan mengambil masa antara 10 hingga 15 minit bagi menangkap ular berkenaan. “Ular berkenaan dipercayai daripada jenis berbisa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sementara itu, tinjauan BH ke sekolah berkenaan mendapati lokasi penemuan ular berkenaan adalah di blok utama yang jauh dari semak, belukar atau kawasan yang menjadi habitat reptilia berkenaan. Difahamkan, sekolah berkenaan baru melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar sekolah minggu lalu.

Sumber: Berita Harian

Draf Dasar Pendidikan Tahfiz Negara hampir siap

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melancarkan Pusat Dagangan dan Perkhidmatan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijangka menyiapkan kerangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata JAKIM bagaimanapun tidak terbabit dalam pelaksanaannya. Katanya, keputusan sama ada untuk melaksanakan dasar berkenaan atau sebaliknya terpulang kepada kerajaan negeri. “JAKIM hanya menjadi sekretariat penyelaras kerangka DPTN manakala kerajaan negeri menerusi majlis dan jabatan agama Islam masing-masing berkuasa membuat keputusan berhubung pelaksanaannya. “Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan berkaitan agama Islam ditentukan oleh kerajaan negeri. “Menerusi pengenalan dasar ini, institusi tahfiz dapat diseragamkan secara menyeluruh, merangkumi soal pendidikan dan keselamatan di sekolah pondok,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Dagangan dan Perkhidmatan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Datuk Mohd Zubir Sheikh Saad.

Sumber: Berita Harian