Permotoran sukar masuk sekolah sukan

image (5)

ADAM NORRODIN

 

KUALA LUMPUR 19 April – Tia­danya kemudahan litar lumba antara sebab utama sukan permotoran sukar memasuki sistem sekolah sukan di negara ini, kata Timbalan Pengarah Sukan Kementerian Pendidikan, Zainal Abas.

Malah kata Zainal, kebiasaannya hanya sukan yang berada dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dimasukkan dalam sistem sekolah sukan di negara ini.

Namun kes dua pelumba Moto3 Malaysia, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin yang tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun kerana kesukaran untuk belajar mungkin akan menukar senario tersebut.

“Sukan permotoran ini bukan dalam kalendar MSSM dan tidak di bawah Kementerian Pendidikan sepenuhnya kerana mereka (pelumba) mewakili dan dikendalikan oleh kelab masing-masing.

“Lagi pun, buat masa ini sekolah sukan tiada kemudahan untuk permotoran seperti litar lumba. Kalau kami ambil pelajar misalnya pada usia 14 tahun, mereka perlu ada lesen motosikal dan lesen berlumba,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zainal menjelaskan, Kementerian Pendidikan sentiasa memberi sokongan kepada semua sukan, dengan memberi pelepasan kepada pelumba negara yang ingin me­nyertai kejohanan meskipun mereka menuntut di sekolah biasa.

“Kami tak halang penglibatan pelajar dalam sukan permotoran menerusi kelab-kelab sukan dan mereka boleh menyertai kejohanan di dalam mahu pun luar negara,” katanya lagi.

Adam, 18, yang mencuri tum­puan dunia selepas hampir menaiki podium sebelum terjatuh ketika menuju garisan penamat di Argentina, tiga minggu lalu sepatutnya mengambil SPM tahun lalu.

Dia terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana menghabiskan banyak masa dengan menyertai perlumbaan di Sepanyol.

Bagaimanapun bapanya, Mohd. Norrodin Jalil mengakui, beliau mahu melihat putera ketiganya berjaya dalam pelajaran dan juga karier.

Selain Adam, Khairul Idham, juara Moto3 di Argentina juga mahu menangguhkan peperiksaan SPM tahun ini.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Advertisements
%d bloggers like this: