Lulusan kolej vokasional laris

image (3)

MAHDZIR KHALID (dua dari kiri) hadir perjumpaan pengetua-pengetua Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasional Kajang, Selangor, semalam. UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

 

KUALA LUMPUR 19 April – Sebanyak 20 peratus daripada 2,806 pelajar kumpulan pertama yang akan menamatkan pengajian diploma dari kolej vokasional pada Mei ini sudah ditawarkan pekerjaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka yang ditawarkan kerja adalah dalam pelbagai bidang termasuk automotif.

Katanya, gaji yang ditawarkan bermula daripada RM1,500 sehingga RM2,200 sebulan atau pun mengikut kadar syarikat-syarikat yang memberi tawaran.

“Ini kohort pertama kolej vokasional. Sekarang, 20 peratus sudah ditawar pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pendidikan Bersama-Sama Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasional Kajang dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Lebih 330 pengurusan tertinggi termasuk pengarah kolej vokasional dan pengetua sekolah menengah teknik hadir pada majlis itu.

Tambah Mahdzir, tawaran kerja yang dijanjikan syarikat-syarikat tempatan membuktikan keyakinan terhadap proses pengajian vokasional dalam menghasilkan pekerja berkemahiran.

Malah katanya, permohonan masuk ke semua kolej vokasional juga adalah tinggi setiap tahun.

Menurut beliau, kuota kolej vokasional adalah sekitar 22,000 orang sahaja setahun manakala yang memohon melebihi 100,000 orang.

“Ini pilihan kedua untuk para pelajar dan kita mahu kolej-kolej vokasional menjadi arus perdana.

“Sekarang, kita merancang untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar ke kolej-kolej tersebut,” katanya.

Bercakap mengenai isu buli, menurut Mahdzir, isu ini bermusim dan berlaku di tempat-tempat ter­tentu sahaja.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: