Jabatan agama, pendidikan perlu bekerjasama pantau keselamatan sekolah

 

PADANG TERAP 19 April – Semua jabatan agama Islam disaran me­nga­dakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan di negeri ma­sing-masing bagi memantau aspek keselamatan bangunan di sekolah agama di bawah kelolaannya.

Mahdzir Khalid

                                                                         Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya membenarkan jalinan kerjasama itu bagi bersama-sama mencari resolusi untuk meningkatkan keselamatan bangunan terutama berkaitan pendawaian elektrik.

“Dalam cuaca panas akibat kesan fenomen El Nino ini, boleh menyebabkan kebakaran lebih senang berlaku walaupun dengan hanya sedikit cetusan.

“Dengan kerjasama itu, Jabatan Pendidikan negeri boleh memberi nasihat dan menyelaras dengan pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan kesempurnaan bangu­nan yang digunakan.

“Jadi, saya minta jabatan agama Islam untuk mengambil tindakan segera dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk memastikan semua sekolah agama dapat memenuhi prosedur keselamatan bangunan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Festival Intifal dan Anugerah Cemerlang SMA Al -Khairiah 2016 di sini hari ini.

Difahamkan ketika ini kurang daripada 100 berbanding ribuan sekolah pondok dan maahad tahfiz yang dibuka di negara ini memiliki Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu, pihaknya sentiasa membuat pemantauan terutama berkaitan aspek pendawaian terutama di sekolah-sekolah yang sudah tua bagi mengelakkan bencana kebakaran berlaku.

“Menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ada, setiap Jabatan Pendidikan akan dapat mengenal pasti sekolah-sekolah yang perlu diberi keutamaan untuk diselenggara segera.

“Kita juga telah memberi peruntukan kepada Jabatan Pendidikan bagi menyelenggara sekolah-sekolah yang memerlukan dalam usaha memastikan bangunan yang digunakan selamat digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: