El Nino: Sekolah di Jerantut, Kuala Krai ditutup

KUALA LUMPUR 19 April – Semua 119 sekolah di Jerantut, Pahang dan Kuala Krai, Kelantan ditutup selama dua hari bermula esok berikutan cuaca panas melampau.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kedua-dua daerah itu didapati mencapai bacaan suhu melebihi 38 darjah Celsius.

Katanya, sekolah-sekolah lain bagaimanapun beroperasi seperti biasa.

“Panas. Panas betul. Bukan sekadar pelajar sekolah, kita sendiri pun tidak tahan. Sekolah-sekolah di Jerantut dan Kuala Krai ditutup kerana mencecah suhu lebih 38 darjah Celsius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pendidikan Bersama-sama Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasio­nal Kajang dekat sini hari ini.

Sebanyak 119 buah sekolah di Je­rantut dan Kuala Krai ditutup selama dua hari melibatkan 41,665 pelajar termasuk para pelajar pra sekolah.

Daerah Jerantut melibatkan 18,586 pelajar manakala Kuala Krai sebanyak 23,078 pelajar.

Tambah Mahdzir, pada waktu ini, semua aktiviti luar termasuk aktiviti padang dihentikan sementara bagi menjaga kesihatan para pelajar.

Beliau memberitahu, rutin para pelajar adalah datang ke sekolah, pergi ke kantin dan balik dari sekolah sahaja.

Ditanya mengenai kejadian histeria melibatkan pelajar-pelajar dan guru di Sekolah Menengah Pengkalan Chepa II, Kota Bharu, Kelantan, katanya, hal itu terserah kepada pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Isu histeria ini merupakan isu setempat dan bukan isu nasional,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Advertisements
%d bloggers like this: