Demonstrasi bantah pertukaran mengejut pengetua SMK Zainab 1

image (4)

SEBAHAGIAN daripada pelajar membuat demonstrasi aman membantah pertukaran mengejut seorang pengetua di pintu hadapan SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/FIRDAUS HASSAN

 

KOTA BHARU 19 April – Ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, di sini hari ini berhimpun bagi membantah pertukaran Pengetuanya, Norasimah Ab. Rasid yang didakwa dibuat secara mengejut dengan campur tangan pihak tertentu.

Demonstrasi secara aman yang bermula kira-kira pukul 3.30 petang itu disertai lebih 50 ibu bapa termasuk pelajar tingkatan satu hingga lima di luar pagar sekolah.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Zainab 1, Dr. Nik Norliza Nik Hasan berkata, pihaknya sebulat suara menentang pertukaran Norasimah kerana ia dilakukan dengan cara yang amat pelik.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Alumni sekolah tersebut berkata, pihaknya percaya pertukaran dilakukan secara tergesa-gesa itu melibatkan campur tangan pihak tertentu bermotifkan peribadi terhadap Norasimah.

“PIBG mengambil inisiatif meminta para pelajar, bekas pelajar dan ibu bapa menandatangani petisyen meminta pengetua itu dikekalkan demi memastikan ke­sinambungan kecemerlangan sekolah.

“Wakil PIBG sendiri akan me­nyerahkan petisyen dan surat bantahan rasmi kepada pihak Kementerian Pendidikan di Putrajaya,” katanya di sini hari ini .

Difahamkan, surat pertukaran Norasimah, 58, dikeluarkan pada 1 April dan beliau diarahkan melapor diri di sekolah baharu pada 10 April.

Bagaimanapun surat pertukaran kontroversi tanpa menyatakan alasan tersebut hanya diserahkan kepadanya oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri, semalam.

Seorang bapa kepada pelajar yang mahu dikenali sebagai Azhar mendakwa, pertukaran Norasimah mungkin disebabkan campur tangan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan cara beliau mentadbir sekolah.

“Ada pihak sebelum ini pernah mengugut mahu menukar Norasimah selepas beliau melaksanakan peraturan pemakaian tudung labuh serta mengarahkan pelajar hadir ke sekolah tepat pada masa­nya.

“Kami percaya individu ini menggunakan pengaruhnya untuk menukar Norasimah walaupun beliau seorang pengetua cemerlang, disayangi pelajar dan warga kerja selain berjaya mentadbir sekolah tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan empat yang hanya mahu dikenali sebagai Wani, memberitahu, dia dan rakan-rakan tidak dapat menerima pertukaran tersebut kerana terlalu menyayangi Norasimah.

“Beliau ibarat ibu bagi kami. Sukar untuk kami biarkan beliau pergi begitu sahaja tanpa sebarang alasan kukuh. Malah ibu bapa sendiri menyokong supaya kami membuat demonstrasi membantah pertukaran mengejut ini,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: