100,000 guru jadi ahli YGMB

PEKAN: Seramai 100,000 guru di seluruh negara menjadi ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sejak ditubuhkan tahun lalu. Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata seramai 10,000 lagi guru dijangka mendaftar sebagai ahli yayasan itu menjelang hujung tahun ini.  “Jumlah guru di Malaysia setakat ini kira-kira 400,000 dan hanya 25 peratus saja mendaftar ahli YGMB setakat ini. “Kita harap lebih ramai lagi guru dapat bersama kami kerana yayasan ini ditubuhkan bagi menjaga kebajikan guru dan membantu mereka jika ada masalah.  “Bagi menambahkan jumlah keahlian kita, pelbagai program jelajah penerangan mengenai kepentingan menjadi ahli sudah dan sedang dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Guru 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.  Yang turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Rosdi Ismail. Ketika ditanya mengenai perancangan YGMB untuk jangka pendek, Alimuddin berkata, pihaknya sedang mencari syarikat pemaju perumahan bagi membina projek perumahan guru di Jerantut.  “YGMB mempunyai tanah seluas 2.94 hektar berhampiran bandar Jerantut dan kita merancang membina kawasan perumahan di tapak berkenaan. “Buat masa ini, kita mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat pemaju perumahan dan jika boleh, projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat.   “Sebanyak 200 unit rumah boleh dibina di tapak itu dan apabila siap kelak, semua unit akan ditawarkan kepada guru pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Sumber: Berita Harian