USIM johan Debat Bahasa Arab

PENDEBAT USIM menunjukkan trofi kejuaraan Debat Bahasa Arab, Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016. – Foto ihsan USIM

BANDAR BARU NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul johan Debat Bahasa Arab, Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada peringkat akhir di sini, hari ini. Pertandingan diadakan di kampus USIM itu membahaskan tajuk ‘Menyediakan Kerusi Tetap kepada Negara-Negara ASEAN di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih baik.’ USIM bertindak sebagai pembangkang Diwakili Muhammad Syafiq Suhaimi, 22; Azka Annisa Yusri Yurnalis, 23; Anis Amirah Zakaria, 23, dan Adam Fikry Bakru Rozi, 21, manakala UIAM sebagai pencadang, diwakili Muhammad Nurfirman Mohamed, 21; Nurul Rafah Syazwani Rahmat, 22; Nur Faiezah Mohamed, 22, dan Abdullah Aimanrusydi Abdullah, 24. Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa USIM, Azka Annisa, pula dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik. Bagi keputusan acara ihtifal lain, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Pekan Baru, Indonesia, menjuarai kategori qari dan qariah tilawah al-Quran, manakala Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta, muncul juara pertandingan nasyid. Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016 yang berlangsung mulai Khamis lalu dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia, menarik lebih 600 penyertaan dari 26 universiti tempatan, Indonesia dan Brunei. Sementara itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin, berkata pertandingan itu membuktikan kesungguhan dan kecintaan masyarakat menjunjung budaya dan mengagungkan al-Quran, sekali gus memartabatkan bahasa Arab. Katanya, program ini juga dapat melahirkan masyarakat Islam yang berpengetahuan dan cendekiawan terbilang berlandaskan ilmu aqli dan naqli (dunia dan akhirat). “Negara sangat memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan semangat, sama seperti generasi yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketamadunan Islam sebelum ini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah, hari ini.

Sumber: Berita Harian