USIM johan Debat Bahasa Arab

PENDEBAT USIM menunjukkan trofi kejuaraan Debat Bahasa Arab, Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016. – Foto ihsan USIM

BANDAR BARU NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul johan Debat Bahasa Arab, Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada peringkat akhir di sini, hari ini. Pertandingan diadakan di kampus USIM itu membahaskan tajuk ‘Menyediakan Kerusi Tetap kepada Negara-Negara ASEAN di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih baik.’ USIM bertindak sebagai pembangkang Diwakili Muhammad Syafiq Suhaimi, 22; Azka Annisa Yusri Yurnalis, 23; Anis Amirah Zakaria, 23, dan Adam Fikry Bakru Rozi, 21, manakala UIAM sebagai pencadang, diwakili Muhammad Nurfirman Mohamed, 21; Nurul Rafah Syazwani Rahmat, 22; Nur Faiezah Mohamed, 22, dan Abdullah Aimanrusydi Abdullah, 24. Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa USIM, Azka Annisa, pula dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik. Bagi keputusan acara ihtifal lain, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Pekan Baru, Indonesia, menjuarai kategori qari dan qariah tilawah al-Quran, manakala Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta, muncul juara pertandingan nasyid. Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016 yang berlangsung mulai Khamis lalu dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia, menarik lebih 600 penyertaan dari 26 universiti tempatan, Indonesia dan Brunei. Sementara itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin, berkata pertandingan itu membuktikan kesungguhan dan kecintaan masyarakat menjunjung budaya dan mengagungkan al-Quran, sekali gus memartabatkan bahasa Arab. Katanya, program ini juga dapat melahirkan masyarakat Islam yang berpengetahuan dan cendekiawan terbilang berlandaskan ilmu aqli dan naqli (dunia dan akhirat). “Negara sangat memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan semangat, sama seperti generasi yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketamadunan Islam sebelum ini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Isu histeria sekolah di Kelantan diputus JPN – Mahdzir

MENTERI Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Foto Aswadi Alias

KUALA NERANG: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diminta menyelesaikan isu berhubung kes histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 di Kota Bharu, secepat mungkin. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kementerian menyerahkan kes itu kepada JPN Kelantan dan PPD dengan menurunkan kuasa kepada mereka untuk membuat keputusan. “Isu membabitkan kes histeria di sekolah terbabit tidak perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan, sebaliknya JPN dan PPD boleh membuat keputusan sendiri mengatasi masalah itu. “Saya serahkan kepada JPN dan PPD untuk membuat keputusan yang terbaik dan tidak perlu surat pekeliling daripada kementerian…buatlah apa juga yang perlu di peringkat mereka untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas melancarkan Liga Bola Sepak Daerah Padang Terap di Dataran Kuala Nerang, di sini, malam tadi. Mengulas tindakan memanggil pengamal perubatan Islam untuk mengatasi masalah histeria di sekolah itu, Mahdzir bagaimanapun berkata, perkara itu terpulang kepada pihak sekolah untuk menentukannya.

Sumber: Berita Harian