Jangan jaja buli di sekolah sebagai isu politik

 

KUALA TERENGGANU 14 April – Kementerian Pendidikan memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak menjadikan isu buli di sekolah sebagai permainan politik kerana ini hanya akan menyemarakkan sentimen perkauman di negara ini.

                                                                      Mahdzir Khalid

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, campur tangan melampaui batas yang didorong oleh kepentingan untuk dilihat sebagai `juara’ akan memberi kesan buruk kepada bukan sahaja pelajar, ibu bapa dan pengurusan sekolah bahkan masyarakat apabila keharmonian terjejas .

“Berkaitan buli dan apa jua bentuk perlakuan ganas kalau boleh kita hendak elak daripada sebarang campur tangan politik kerana hal berkaitan sekolah sepatutnya hanya melibatkan pelajar tanpa sebarang unsur perkauman.

“Jadi kita tidak mahu ada orang lain tampil sebagai juara dalam isu ini dan datang ke sekolah kerana akhirnya akan membawa kepada perkara yang tidak sihat. Biarlah pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan negeri yang menyelesaikan setiap kesulitan itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-55 yang dihadiri 586 pengetua di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Matsor Ismail serta Pemangku Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Jamaludin Yaacob.

Menurut Mahdzir, berhubung garis panduan baharu untuk menangani kes buli, kementerian mengesyorkan semua pihak untuk mengambil langkah proaktif dan segera termasuk membuat rundingan serta-merta dengan mereka yang terlibat sebaik sahaja mengetahui tentang kejadian tersebut.

Katanya, menerusi rundingan dengan pelajar dan ibu bapa, pendekatan itu sekali gus dapat mempercepatkan proses tindakan tanpa perlu menunggu prosedur sedia ada yang pastinya mengambil masa lama.

“Dalam kes buli ini, kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP), sekiranya pihak sekolah boleh ambil langkah itu, baguslah sebab kita tidak perlu tunggu siasatan bermula, selesai siasatan dan kemudian bawa ke jawatankuasa untuk diputuskan tindakan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementerian telah menyediakan peruntukan khas bagi pembekalan air bersih di sekolah-sekolah yang terjejas akibat fenomena panas dan kering yang berpanjangan ketika ini.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: