SMK Pengkalan Chepa II ditutup kerana histeria

image (1)

SEORANG pelajar diberikan rawatan oleh dua guru selepas diserang histeria di SMK Pengkalan Chepa II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. 

 

KOTA BHARU 13 April – Berikutan lebih 50 pelajar termasuk guru pe­rempuan diserang histeria sejak kelmarin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa II di sini diarahkan bercuti esok.

Sumber Jabatan Pendidikan negeri ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu, para pelajar SMK Pengkalan Chepa II diminta tidak hadir ke sekolah esok kerana diberi ‘cuti peristiwa’.

Katanya, satu sidang akhbar berhubung kejadian itu akan diadakan di sekolah tersebut pada pukul 11 pagi esok.

“Bagi mengatasi perkara ini, kami berpendapat elok sekiranya pelajar tidak berada di sekolah. Walau bagaimanapun, para guru tetap diarahkan bertugas seperti biasa esok,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, kejadian histeria bermula pagi kelmarin selepas seorang pelajar perempuan rebah dan meracau-racau sebelum ‘berjangkit’ kepada beberapa pelajar lain termasuk guru perempuan sehingga menyebabkan sesi pem­belajaran di semua kelas terganggu.

Situasi mencemaskan tersebut dikatakan berlarutan selama tiga hari berturut-turut termasuk hari ini apabila seorang demi seorang pelajar turut diserang perkara sama.

Salah seorang mangsa, Raja Nor Atirah Raja Hurmaishah, 17, memberitahu, dia diserang histeria pagi kelmarin dan ketika kejadian tersebut kedua-dua belah tangannya kebas manakala fikirannya pula jadi tidak menentu.

“Mula-mula tangan kiri dan kanan saya kebas, selepas itu dunia rasa gelap dan fikiran saya rasa berserabut. Saya mula menangis sehingga guru-guru datang menenangkan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang enggan dikenali pula berkata, sejak kejadian tersebut, rata-rata pelajar berada dalam ketakutan.

“Kami tidak dapat belajar kerana takut. Malah kami tidak berani masuk ke dalam kelas dan hanya duduk di luar kerana beberapa pelajar mendakwa ternampak kelibat ‘lembaga’ dalam kawasan sekolah terutama kelas dan tandas,” katanya

Jabatan Pendidikan negeri juga dikatakan telah menghantar beberapa orang ustaz untuk membantu memberi rawatan kepada pelajar yang diserang histeria manakala pihak sekolah turut mengadakan majlis bacaan al-Quran.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: