163 sekolah di Jerantut, Temerloh sambung cuti esok

11rosdi.transformed

KUANTAN: Semua 163 sekolah di daerah Jerantut dan Temerloh ditutup sehari lagi berikutan cuaca panas melampau di kawasan terbabit.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Rosdi Ismail berkata, suhu di dua daerah berkenaan masih tinggi iaitu 38.5 darjah celcius di Jerantut dan 37.8 darjah celcius di Temerloh.

Beliau berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas keadaan cuaca panas masih berterusan dan dikhuatiri boleh mengakibatkan masalah kepada murid. “Bagaimanapun staf dan guru perlu hadir bertugas seperti biasa.”

“Arahan ini membabitkan 48 sekolah rendah dan 17 sekolah menengah di daerah Jerantut. Jumlah murid dan pelajar pula ialah 11,154 murid sekolah rendah dan 7,401 pelajar sekolah menengah.

“Bagi daerah Temerloh pula, sebanyak 69 sekolah rendah dan 29 sekolah menengah diarahkan ditutup esok membabitkan 16,799 murid dan 13,291 pelajar.

“Kita akan terus memantau perkara ini dan jika keadaan cuaca panas berterusan, kita akan umumkan esok (hari ini) sama ada untuk tutup atau tidak sesi persekolahan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau turut menasihatkan semua pihak sekolah di negeri ini untuk mengurangkan dan membatalkan aktiviti luar darjah bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di Perlis, Jerantut dan Temerloh di Pahang ditutup hari ini, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara.

Sumber: Berita Harian