Tubuh badan khas tangani keganasan di sekolah

Lee_Lam_Thye10a.transformed

AKTIVIS Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye. – Foto Mohd Yusni Ariffin

 

KUALA LUMPUR: Satu badan khas perlu diwujudkan bagi menangani masalah keganasan di sekolah yang dilihat semakin membimbangkan.

Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata badan khas itu wajar disertai Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, pakar akademik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.

Katanya, usaha membendung gejala tidak bertamadun itu perlu ditangani semua pihak dan bukannya menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan sahaja.

“Ibu bapa tidak seharusnya menuding jari terhadap pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan sebagai punca masalah ini berlaku sebaliknya sedar dan bantu pihak berkenaan bagi menyelesaikannya.

“Isu ini sudah lama berlaku dan ia boleh diibaratkan sebagai satu trend yang ‘wajib’ berlaku di sekolah. Lebih mendukacitakan, apabila pergaduhan itu membabitkan penggunaan senjata tajam yang boleh meragut nyawa.

“Saya gesa segala program atau silibus di sekolah disemak semula supaya pengisiannya kena dengan keadaan semasa. Misalnya, sesi kaunseling, subjek Pendidikan Islam dan Pendidik Moral perlu dimantapkan untuk memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai 18 pelajar yang berusia 14 hingga 18 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Taman Wangsa Melawati, di sini, Khamis lalu.

Di Kota Bharu, Kelantan, pula seorang pelajar Tingkatan Tiga retak tulang leher akibat dibuli senior sekolahnya di Pengkalan Chepa, Khamis lalu.

Sumber: Berita Harian