1.2 juta terima 
manfaat program pendidikan Mara

 

KUALA LUMPUR 4 April – Sebanyak 1.2 juta orang telah menerima manfaat daripada pelbagai program pendidikan yang dijalankan oleh Mara sejak agensi itu ditubuhkan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 300,000 daripada mereka adalah tenaga kerja mahir dan separa mahir yang memenuhi keperluan industri kritikal negara.

Katanya, jumlah tersebut mewakili 30 peratus daripada 60 peratus guna tenaga kerja mahir yang diperlukan negara untuk mencapai sasaran menjadi negara maju pada tahun 2020.

“Sepanjang 50 tahun penubuhannya, Mara berjaya memainkan peranan sebagai agensi sosioekonomi dalam menyumbang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia.

Jumlah penerima manfaat Mara juga kini sudah mencecah dua juta orang melalui program pendidikan, keusahawanan dan pembangunan industri yang dijalankan.

“Dalam situasi mencabar, Mara masih kekal menaja pelajar melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara. Malah saban tahun Mara menghantar lebih daripada 1,000 kuota pelajar ke luar negara dan kerajaan juga tidak pernah mengurangkan bajet bagi tujuan penajaan pelajar,” katanya ketika berucap dalam majlis Sambutan Perdana 50 Tahun Mara di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam konteks pembangunan usahawan, Ismail Sabri berkata, hampir 700,000 usahawan telah dibangunkan melalui pelbagai program seperti pembangunan standard perniagaan, tekno usahawan serta pemasaran dan penjenamaan.

Selain itu, tambahnya, lebih 200,000 usahawan telah dibantu untuk mengembangkan mereka melalui kemudahan pembiayaan perniagaan.

“Bantuan kepada bumiputera turut disalurkan dalam bentuk ruang niaga menerusi lebih 7,000 ruang niaga yang dimiliki Mara di seluruh negara. Perniagaan yang dijalankan di ruang tersebut membolehkan usahawan bumiputera menjana pendapatan kira-kira RM3 bilion setahun dan mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan,” jelasnya.

Ujarnya, dalam mendepani 50 tahun akan datang, selain mengekalkan peranan sedia ada, Mara akan memberi fokus kepada aktiviti pelaburan bagi mengekalkan kesinambungannya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: