‘Spell It Right’ RHB-New Straits Times dapat sambutan

ANTARA pelajar yang mengambil bahagian dalam ujian bertulis pertandingan ‘Spell It Right’ RHB-New Straits Times. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pertandingan ‘Spell It Right’ RHB-New Straits Times bagi peringkat saringan awal di sini, hari ini mendapat sambutan apabila 1,400 pelajar mengambil bahagian dalam ujian bertulis. Penyelaras Pemasaran dan Penjenamaan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohamad Anuar Alias, berkata ia sambutan menggalakkan apabila jumlah penyertaan kali ini meningkat berbanding tahun lalu.  “Penyertaan bagi seluruh Selangor saja membabitkan 594 murid bagi kategori sekolah rendah dan 822 pelajar kategori sekolah menengah. “Seramai 100 pelajar bagi setiap kategori akan dipilih meneruskan pertandingan di peringkat negeri manakala hanya seorang pemenang dipilih bagi setiap kategori untuk ke peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Dewan Peperiksaan Universiti Malaya, di sini. Anuar berkata, ujian bertulis itu turut diadakan semalam di Perlis dan Negeri Sembilan, manakala di Hotel Ixora, Pulau Pinang pada hari ini. Sementara itu, peserta kategori sekolah rendah di Selangor, Sara Qistina Mosmulyadi, 12, berkata dia menyertai pertandingan itu kerana diajak rakan sekelasnya walaupun tidak begitu menggemari subjek Bahasa Inggeris. “Namun saya berusaha membaca kamus setiap hari dan ibu bapa banyak mengajar perkataan yang susah supaya saya dapat tingkatkan pengetahuan dalam subjek ini,” katanya. Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puchong Jaya (B),  Adam James, 15, kemenangan tempat ketiga peringkat Selangor tahun lalu menjadi pencetus semangatnya bagi penyertaan kali kedua kali ini. “Saya mahu menjadi juara selepas melakukan berbagai persiapan seperti membaca kamus Oxford, membuat latihan bahasa Inggeris secara lisan dan secara dalam talian,” katanya. Rakannya, Uzma Umairah Othman, 16, berkata dia pelajar terpilih menyertai pertandingan itu kerana sering aktif dalam acara debat dan syarahan di sekolah. “Ini kali pertama saya menyertai pertandingan ini kerana dipilih guru dan saya berharap dapat ke pusingan seterusnya selepas berusaha berlatih mengeja perkataan bahasa Inggeris dengan rakan di sekolah,” katanya.  Sementara itu, ibu kepada peserta sekolah rendah, Nor Ain Md Salleh, 38, berkata pertandingan itu dapat memupuk minat pelajar mempelajari bahasa Inggeris dengan cara menyeronokkan. “Pelajar yang tidak meminati subjek Bahasa Inggeris juga boleh menyertai pertandingan Spell It Right kerana mereka akan berusaha belajar perkataan baharu dan membaca kamus setiap hari,” katanya.

Sumber: Berita Harian