Ribuan serbu Karnival Pendidikan Mara 2016

  04 April 2016 12:35 AM
SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang hadir ke Karnival Pendidikan SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang hadir ke Karnival Pendidikan MARA 2016 di Plaza Angsana, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 3 April – Ribuan pengunjung menyerbu 68 gerai yang terdapat dalam Karnival Pendidikan Mara 2016 di Pusat Beli Belah Angsana, di sini hari ini untuk merebut peluang dan tawaran menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang.

Karnival selama dua hari itu yang berakhir hari ini menyediakan informasi dan temuduga terbuka membabitkan banyak universiti awam dan swasta termasuk kolej terutamanya institusi-institusi di bawah Institut Pendidikan Mara (Ipma).

Seorang pengunjung, Zulkarnain Kassim, 18, dari Jasin, Me­laka berkata, kehadirannya adalah untuk meninjau peluang me­nyam­bung pelajaran dalam bidang multimedia yang disifatkannya mempunyai banyak peluang dalam pasaran kerja.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berpuas hati dengan segala maklumat yang disediakan dalam karnival tersebut sekali gus mendedahkan lebih banyak informasi dalam bidang berkenaan menerusi universiti-universiti berkaitan.

“Pengunjung memproleh maklumat secara terus daripada 68 pempamer yang terdiri daripada universiti awam dan swasta serta Ipma. Malah temuduga juga dilakukan serta merta,” katanya ditemui di sini hari ini.

Zulkarnain membuat permohonan untuk menyambung pelajaran dalam bidang multimedia menerusi karnival tersebut kerana meminati bidang berkenaan selain berhasrat menghasilkan iklan dan filem sendiri satu hari nanti.

Akmal Taki Borhan, 19, dari Bandar Dato’ Onn di sini berkata, pelbagai maklumat berhubung tawaran pengajian tinggi daripada pelbagai universiti awam dan swasta termasuk yang cukup dikenali hanya dengan berkunjung ke karnival itu.

Dia yang merupakan anak keempat daripada lima beradik meminati bidang perniagaan dan ingin menjadi akauntan berkata, banyak pilihan dalam karnival tersebut bukan sahaja untuk lepasan sekolah sepertinya tetapi juga pencari kerja.

Mohd. Wafi Mohd. Zaini, 18, dari Skudai, mendapat sokongan keluarganya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia atau teknologi maklumat (IT) dan karnival itu katanya, diadakan tepat pada masanya selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) keluar awal tahun ini.

“Semua maklumat mengenai program pengajian, kelayakan dan kos boleh diketahui dalam karnival ini bagi memudahkan keluarga membuat perancangan mengikut bajet,” katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan ketika ini menjalankan peniagaan sendiri secara dalam talian.

Sumber:  Utusan Malaysia Online

– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/ribuan-serbu-karnival-pendidikan-mara-2016-1.208434#sthash.Q9kwcxCi.dpuf

%d bloggers like this: