Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UUM diiktiraf LPQB

SINTOK: Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) (LL.B) Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pengiktirafan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB), baru-baru ini. Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata dengan pengiktirafan itu, pelajar yang mengikuti program berkenaan tidak perlu lagi menjalani tiga kursus latihan ditetapkan LPQB seperti diamalkan sebelum ini. Beliau berkata, pengecualian itu dipersetujui LPQB selepas meneliti laporan UUM berhubung langkah dan tindakan diambil universiti itu untuk mematuhi syarat ditetapkan badan berkenaan melalui mesyuarat dibentangkan pada 19 Februari lalu. “Sebelum ini, pelajar dikehendaki menjalani tiga kursus latihan bagi program LLB iaitu Training Programme on Conveyancing Practice, Drafting Pleadings dan Opinion Writing anjuran Majlis Peguam Malaysia dan mendapat Certificate of Completion. “Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini selepas UUM mengambil semua langkah bagi memenuhi keperluan pengiktirafan berkenaan sejak tahun 2011 yang mana akhirnya berhasil menerusi pengiktirafan badan profesional ini,” katanya melalui kenyataan, di sini sebentar tadi. Sehubungan itu, beliau berkata, Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) perlu terus meningkatkan lagi kualiti graduannya supaya program undang-undang UUM menjadi yang terbaik di Malaysia.

Sumber: Berita Harian